suria

Kerajaan Scotland Mahu Merdeka Dari Britain Sepenuhnya Menjelang Hujung 2014

LONDON: Kerajaan Autonomi Scotland menegaskan bahawa mereka mahu meneruskan referendum mengenai kemerdekaan penuh dari Britain menjelang 2014, selepas kerajaan pusat memberikan lampu hijau untuk melaksanakan referendum tetapi secara bersyarat.

Perdana Menteri British, David Cameron mengumumkan bahawa kerajaan pusat akan memberikan Parlimen Scotland kuasa sementara untuk mengundi sama ada mahu menamatkan penyatuan selama 300 tahun bersama England yang telah membentuk Great Britain.

Kerajaan pusat mahu undi itu dijalankan secepat yang mungkin kerana sebarang ketidakpastian mengenai masa depan Scotland hanya akan menjejaskan ekonomi negara.

Tahun untuk melaksanakan referendum tentang kemerdekaan penuh Scotland pada tahun 2014 secara kebetulan pula jatuh pada ulang tahun ke-700 kemenangan "Battle of Bannockburn" iaitu peperangan yang membawa kemenangan kepada bala tentera Scotland menentang Inggeris.

Dalam pilihan raya umum Mei tahun lalu, Parti Nasional Scotland telah berjaya menawan majoriti kerusi Parlimen Scotland iaitu kemenangan majoriti besar yang pertama sejak Parlimen Scotland dihidupkan semula pada 1999.

Parti tersebut mencapai kemenangan besar selepas membawa manifesto untuk menuntut kemerdekaan penuh melalui satu referendum.

Setiausaha Negara Mengenai Hal Ehwal Scotland, Michael Moore berkata, sementara kerajaan pusat mahukan Great Britain atau United Kingdom terus kekal sebagai satu kesatuan tetapi satu referendum yang adil, sah dan tegas tentang masa depan Scotland tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

"Atas sebab itulah, kerajaan UK bersedia untuk memberikan kuasa sementara untuk melaksanakan referendum kepada Kerajaan Scotland yang mana tanpa kuasa tersebut mereka tidak dapat melaksanakannya secara sah," ujar Moore.

Kedua-dua kerajaan pusat dan autonomi itu juga masih berbalah tentang umur minima yang akan dibenarkan mengundi di dalam referendum tersebut.

Parti Nasional Scotland mahukan mana-mana rakyat yang berusia 16 atau 17 tahun dibenarkan mengundi menentukan masa depan dan halatuju negara mereka tetapi kerajaan pusat bertegas umur yang sesuai ialah 18 tahun dan ke atas - sama seperti had umur minima yang dibenarkan mengundi dalam pilihan raya di Britain.

Perdana Menteri David Cameron pada Ahad telah dipetik sebagai berkata, beliau akan berasa tersangat sedih sekiranya Scotland membuat keputusan untuk berpisah daripada kesatuan United Kingdom iaitu apa yang beliau sifatkan sebagai salah satu kesatuan yang paling berjaya dalam sejarah dunia.

Satu tinjauan yang dijalan oleh British Future, iaitu sebuah badan bebas Disember lalu mendapati, 54 peratus rakyat Scotland mahu negara itu terus kekal sebagai sebahagian daripada kesatuan United Kingdom manakala 29 peratus lagi mahukan kemerdekaan penuh.

Parlimen Scotland buat masa ini mempunyai kuasa penuh berkaitan pelajaran, kesihatan, alam sekitar dan perundangan.

Bagaimanapun, urusan hal ehwal luar negara dan juga pertahanan masih di bawah kerajaan Britain sepenuhnya.

Artikel Lain