suria

Israel Peras Ugut Pesakit Warga Palestin

SEMENANJUNG GAZA: Pesakit warga Palestin diperas ugut oleh Israel untuk mendapatkan rawatan di Israel, demikian menurut laporan pusat hak asasi manusia di Gaza.

Pesakit yang melalui pintu masuk di Persimpangan Erez, yang dikuasai Israel, berdepan dilema sama ada bekerjasama dengan risikan Israel atau tidak dibenarkan masuk untuk mendapatkan rawatan.

Seorang pesakit kanser warga Palestin, Sayed Abu Hamad, 48, perlu menjalani kemoterapi di sebuah hospital di wilayah Palestin yang diduduki Israel setiap bulan.

Ketika bergerak antara Gaza dan Israel, beliau merupakan antara beratus-ratus pesakit yang menyaksikan layanan buruk tentera Israel.

Selain dasar peras ugut, Hamad selanjutnya menyatakan bahawa pesakit seringkali dihina dan adakalanya dipaksa menanggalkan pakaian mereka berikutan helah atas sebab keselamatan yang digunakan Israel.

"Risikan Israel beritahu saya, jika awak enggan bekerjasama dengan kami, awak tidak akan sembuh dan awak akan mati di Gaza," kata Sayed.

"Mereka juga minta saya memberi maklumat tentang militan Palestin."

Dasar peras ugut Israel dilaksanakan ketika keadaan kesihatan semakin merosot di wilayah sempit itu, yang berada di bawah kepungan Israel sejak 2006.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang berada dalam kepungan, berkata beratus-ratus keperluan perubatan tidak dapat diperoleh di sini disebabkan sekatan Israel.

Abed Al-Rahman Ahmed, 55, seorang lagi pesakit kanser, disoal siasat oleh tentera Israel di Persimpangan Erez selama lapan jam, dan akhirnya dibenarkan pergi ke hospital di Israel tempat beliau mendapatkan rawatan.

Beliau memilih untuk berdepan kematian yang bakal tiba daripada mengkhianati kaumnya sendiri.

"Tiada siapa pun yang suka berdepan kematian, namun pilihan yang lagi satu itu lebih buruk," kata Abed Al-Rahman kepada Bernama.

"Mereka minta saya mengintip beberapa jiran dan saudara mara saya. Apabila saya menolak tawaran itu, mereka membatalkan kebenaran yang diberi kepada saya," katanya.

Kementerian dalam negeri Hamas baru-baru ini mendedahkan bahawa mereka menahan pihak yang bersekongkol dengan Israel yang bergerak antara Gaza dan Israel.

Pegawai keselamatan berkata sebahagian besar daripada pihak yang bersekongkol itu adalah pesakit dan pedagang, sambil mereka menjalankan urusan perubatan serta perniagaan.

Menurut pusat statistik setempat di wilayah pinggir pantai ini, Israel tidak memberi kebenaran kepada 35 peratus pesakit yang mempunyai borang rujukan perubatan ke Israel.

Dalam satu kenyataan akhbar, Pusat Hak Asasi Manusia Al-Mezan mengutuk sekeras-kerasnya dasar peras ugut Israel itu, dan menyifatkannya sebagai jenayah terhadap kemanusiaan. -BERNAMA

Artikel Lain