suria

Sebahagian Besar Kawasan Kota Bangkok Dijangka Selamat Daripada Banjir

BANGKOK: Ketika Bangkok bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan dilanda banjir pada Jumaat, kerajaan yakin sebahagian besar kawasan di ibu negara Thailand ini tidak akan terjejas oleh bencana alam itu.

Menteri Kehakiman Pol Gen Pracha Promnok, yang juga ketua markas operasi bantuan banjir, berkata dua daripada tiga benteng baru bagi menahan banjir telah siap dibina, manakala satu lagi hampir disiapkan.

Tiga benteng penahan banjir itu adalah tambahan kepada tiga benteng yang telah dibina di sepanjang beberapa terusan bagi menghalang airnya daripada melimpah ke bandar raya ini.

Bangkok berdepan dengan ancaman banjir antara esok dan Ahad berikutan ramalan bahawa limpahan air banjir dari wilayah utara dan tengah negara ini akan sampai ke sini dalam tempoh tersebut serta akan berlaku ribut serta hujan lebat dan air laut yang pasang tinggi.

Pracha berkata beberapa kawasan di ibu kota ini yang terletak di luar benteng berkenaan mungkin dilanda banjir esok tetapi keadaannya dijangka tidak serius berikutan pelbagai langkah yang diatur untuk meminimumkan kesannya terhadap Bangkok.

Sebahagian daripada timur Bangkok yang melibatkan wilayah Ladkrabang, Sai Mai, Jarakhea Yai, Nongjok, Minburi dan Pravate dilanda banjir sejak lewat malam tadi.

Setakat ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok Timur tidak dilanda banjir.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini terus digenangi air dan menjejaskan kehidupan 2.2 juta penduduk lebih 10,000 kampung di 26 wilayah di bahagian utara dan tengah negara ini sejak bencana alam itu berlaku mulai Julai.

Jumlah kematian akibat banjir meningkat kepada 283.

Lebih 900 kilang dengan 200,000 pekerja, 1.5 juta hektar tanah pertanian dan 9.9 juta haiwan ternakan terjejas oleh bencana alam itu, manakala 225 jalan raya tidak boleh dilalui. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain