suria

Polis Britain Tangkap Bekas Pengarang Eksekutif News of the World

LONDON: Polis telah menangkap seorang lagi bekas pemimpin kanan akhbar kontroversi News of the World bagi membantu siasatan ke atas kontroversi skandal pengodaman telefon bimbit selebriti dan mangsa penculikan yang dilakukan oleh akhbar mingguan itu untuk mendapatkan maklumat.

Beberapa media utama Britain telah mengenalpasti, orang yang ditangkap itu ialah Neil Wallis, 60, bekas pengarang eksekutif dan timbalan pengarang akhbar tabloid itu yang kini telahpun dihentikan penerbitan oleh pemiliknya, Rupert Murdoch Ahad lalu.

Murdoch telah mengambil keputusan untuk menghentikan penerbitan akhbar News of the World yang berusia 168 tahun itu minggu lalu selepas menerima kecaman daripada masyarakat berhubung tindak tanduk wartawan akhbar berkenaan mengodam telefon bimbit seorang mangsa pembunuhan dan juga telefon keluarga askar-askar yang terbunuh di Afghanistan dan Iraq untuk memperolehi maklumat daripada khidmat pesanan ringkas dan juga rakaman peti suara.

Wallis, berhenti dari News of the World pada tahun 2009.

Scotland Yard sehingga kini masih menyembunyikan identiti lelaki itu tetapi mengatakan bahawa mereka telah menahannya di sini awal Khamis kerana disyaki berkonspirasi dalam rancangan memintas komunikasi.

Outside Organisation, iaitu firma perhubungan awam yang mana Wallis adalah pengarah urusannya enggan memberikan sebarang komen berhubung penangkapan itu.

Wallis adalah timbalan pengarang News of the World dari tahun 2003 hingga 2007. Beliau kemudiannya menjadi pengarang eksekutif sebelum meninggalkan akhbar itu dua tahun lepas.

News of the World ketika itu adalah di bawah kepimpinan Andy Coulson selaku ketua pengarang.

Coulson juga meninggalkan News of the World pada tahun 2007 selepas salah seorang wartawannya disabitkan dengan kesalahan mengodam peti simpanan suara ramai selebriti termasuklah keluarga diraja Britain.

Coulson, kemudiannya dilantik sebagai ketua pegawai media Perdana Menteri, David Cameron sebelum meletakkan jawatan pada Januari lalu apabila isu mengenai skandal pengodaman telefon bimbit ini menjadi semakin besar dan diperkata ramai.

Coulson ditahan Jumaat lalu berhubung skandal ini.

Seorang lagi bekas pengarang kanan News of the World, Clive Goodman, turut ditahan Jumaat lalu.

Kedua-duanya kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Sebelum ini iaitu pada April, polis telah menahan ketua pemberita News of the World, Neville Thurlbeck, 50 dan bekas penolong pengarang berita, Ian Edmondson berhubung skandal yang sama.

Cameron telah mengesahkan kepada parlimen pada Rabu, setakat ini pihak berkuasa telah menahan lapan orang berkaitan skandal tersebut yang sekaligus menyaksikan hasrat Murdoch untuk mengambil alih stesen televisyen berbayar terbesar Britain BSkyB musnah sama sekali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain