suria

Malaysia lobi kekalkan kerusi Pertubuhan Maritim Antarabangsa

PUTRAJAYA: Malaysia akan menggiatkan usaha melobi untuk mempertahankan kerusi bagi kategori C dalam Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang akan dipertandingkan pada 27 November nanti.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata ini selaras dengan peranan dan penglibatan negara yang semakin menonjol dalam pertubuhan bertaraf dunia itu.

Beliau berkata kerusi berkenaan akan membuka peluang kepada Malaysia untuk menyatakan pendirian dan pendapat dalam industri maritim, sekaligus memberi ruang untuk negara mengukir lebih banyak kejayaan dalam sektor tersebut, khususnya di rantau Asean.

"Malaysia sudah mula melobi bagi mempertahankan kerusi di bawah kategori berkenaan dan berharap melalui penglibatan secara langsung dalam majlis IMO, ia akan mampu mempertahankan segala peraturan dan undangundang yang dipersetujui bersama dan bukan tertakluk kepada kehendak negaranegara maju yang lebih besar dan berkuasa," katanya dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Maritim 2009 peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Menurutnya pertandingan itu melibatkan tiga kategori dan Malaysia jatuh di bawah kategori C iaitu negaranegara yang mempunyai kepentingan maritim yang diagihkan mengikut kedudukan geografi atau kewilayahan.

Kategori A melibatkan negara-negara maju yang memiliki jumlah perdagangan maritim dalam bilangan yang besar manakala kategori B mencakupi negaranegara perkapalan, dan keduadua kategori itu masing-masing mempertandingkan 10 kerusi.

Ong berkata dalam usaha melobi kerusi berkenaan, mereka berpaksikan kepada peranan dan kewujudkan Malaysia sebagai sebuah pusat perdagangan terkemuka seawal kurun ke15 dan ia masih berterusan sehingga ke hari ini.

"Malaysia adalah negara pesisiran dan disebabkan oleh lokasi itu Malaysia sejak dulu lagi merupakan negara perdagangan maritim yang giat. Adalah wajar Malaysia diberi peluang untuk memainkan peranan yang menonjol di sektor maritim antarabangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ong yang juga Presiden MCA berkata, perjanjian damai yang termeterai antara beliau dan bekas Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bermakna keduadua pihak perlu menggembleng tenaga untuk memantapkan kedudukan parti.

"Seperti kenyataan yang saya buat sebelum ini, ia bukan sekadar satu retorik dan bersandarkan kepada slogan semata-mata, tetapi ia memang menuju ke arah usaha mewujudkan perdamaian antara semua pihak terlibat. Kami (MCA) tak suka umumkan sesuatu sebelum ia berhasil," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain