suria

Siapa bakal jadi calon Naib Presiden kepada Susilo?

JAKARTA: Dengan keputusan pengiraan segera yang menunjukkan Parti Demokrat sedang mendahului 37 parti lain dalam pemilihan umum Indonesia 2009 yang berlangsung semalam, tumpuan rakyat Indonesia kini ialah siapa yang bakal menjadi calon naib presiden.

Berdasarkan keputusan pengiraan segera itu yang menunjukkan Parti Demokrat mendahului dengan mendapat lebih 20 peratus undi, pengerusinya yang juga Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono tidak syak lagi akan menjadi calon presiden pada pemilihan langsung presiden (pilpres) 8 Julai.

Banyak orang termasuk rakyat biasa mahupun cerdik pandai dan pemerhati politik tertanya-tanya sama ada Susilo masih sedia bergandingan dengan Naib Presiden, Jusuf Kalla yang juga pengerusi Parti Golkar, yang sebelum ini menawar diri sebagai calon presiden.

Golkar sendiri, mengikut pengiraan segera yang dijalankan oleh beberapa lembaga survei tempatan setakat ini menduduki tangga kedua atau ketiga dengan memperoleh antara 13 dan 14 peratus sokongan rakyat, bersaing rapat dengan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati Soekarnoputri (13 hingga 14 peratus).

Pertanyaan juga timbul sama ada Susilo bakal berganding dengan PDIP apabila Megawati sendiri juga sudah menetapkan untuk menjadi calon presiden.

Ada media massa tempatan melaporkan bahawa kemungkinan peluang gandingan Susilo-Jusuf, yang popular dengan singkatan 'SBYJK' dalam pilpres 2009 tetap terbuka luas walaupun Jusuf telah mengumumkan untuk menawar diri sebagai calon presiden, seperti dikehendaki oleh Golkar sendiri.

"Soal cawapres (calon wakil presiden), tunggu tarikh penentuannya. Ada banyak calon bagus. Ada Pak JK, ada bukan Pak JK. Tapi itu nantilah. Mohon doa restu agar pasangannya tepat," kata Susilo seperti dipetik media massa di kediamannya di Puri Cikeas, Bogor, semalam.

Susilo berkata Jusuf sendiri telah menelefon beliau untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan Parti Demokrat mengikut pengiraan segera itu, yang keputusannya dijangka tidak jauh berbeza daripada keputusan rasmi yang akan diumum Komisi Pemilihan Umum Indonesia pada awal Mei.

Setakat ini Presiden Susilo yang tempoh tugasnya sebagai presiden hanya akan berakhir pada Oktober 2009, jelas menunjukkan sikap bijaksana beliau dalam menangani pelbagai persoalan berkaitan dan menjawab soalansoalan wartawan.

Mengenai kemungkinan Jusuf terus bergandingan dengannya sebagai naib presiden, beliau berkata mereka berdua tetap sepakat untuk terus bekerjasama demi kepentingan negara dan bangsa dan pada masa yang sama berkata Demokrat juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa parti lain.

Ada pula laporan, yang menyebut bahawa perolehan suara Golkar yang hanya sekitar 15 peratus membuatkan parti harus memikir semula sama ada wajar untuk mengetengahkan calon presiden sendiri atau lebih strategik untuk kembali bergabung dengan Demokrat.

"Dengan perhitungan seperti ini, Golkar barangkali mempertimbangkan tidak lagi mencalonkan presiden. Mungkin akan cenderung berkoalisi (bergabung) dengan Demokrat," kata Ketua Dewan Pimpinan Pusat Parti Golkar, Theo L. Sambuaga seperti dipetik laman web berita detik.com.

Dalam masa yang sama, hari Jumaat ini menjadi hari yang sibuk bagi banyak parti politik lain juga yang dilapor sudah saling berbincang untuk menentukan gabungan bagi membolehkan mereka menguasai sebanyak mungkin daripada 560 kerusi parlimen Indonesia.

Megawati dilapor akan bertemu calon presiden dari parti Gerindra Prabowo Subianto, Pengerusi Parti Hanura Wiranto dan Ketua Dewan Penasihat Golkar Surya Paloh.

Jusuf kini dikatakan berada dalam kedudukan serba salah selepas Golkar dikalahkan dengan teruk oleh Parti Demokrat, apatah lagi beliau sudah mengumumkan untuk menjadi calon presiden, bertanding dengan calon lain termasuk Susilo dan tidak lagi sebagai calon naib presiden kepada Susilo.

"Pastinya Golkar, khasnya Jusuf, dalam keadaan yang serba salah. Namun yang terbaik bagi Golkar, yang menurun perolehan suaranya dari lebih 21 peratus pada pemilu 2004 kepada 14 peratus sekarang, ialah untuk terus bergandingan dengan Demokrat bagi mengekalkan kedudukan kuasa," kata seorang pemerhati politik, Ismeth.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata dalam keadaan sekarang dan jika mahu berkerjasama dengan Demokrat, Jusuf mahupun Golkar harus melupakan hasrat menampilkan calon presiden sendiri.

Selain itu, katanya, Demokrat pula harus terus membuka pintu kepada Golkar jika mahu terus memastikan kekuatannya di parlimen kerana kemungkinan bergabung dengan PDIP sangat tipis berdasarkan latar belakang hubungan yang tidak begitu mesra antara Susilo dan Megawati.

Seorang lagi pemerhati, Salleh Dani, berkata kenyataan Susilo hari ini bahawa Demokrat sedia membuka pintu gabungan kepada manamana parti termasuk parti kecil sekalipun, menggambarkan kesungguhan Susilo untuk membentuk sebuah kerajaan Indonesia yang baru dan lebih kuat bagi tempoh 2009-2014.

Bagi Malaysia, tentunya gembira melihat sebuah kerajaan Indonesia yang kuat kerana sebagai jiran terdekat, setiap perkembangan di negara ini akan memberi kesan kepada Malaysia baik dari segi ekonomi mahupun sosiobudaya.

Sehingga pukul 7 malam tadi, Demokrat masih mendahului keputusan pengiraan segera itu dan jika tiada perubahan ketara, pastinya Susilo akan tetap merupakan calon presiden terbaik untuk pilpres Julai 2009 ini, seperti yang harus diakui oleh berbelas-belas parti lain yang sebelum ini berhasrat menampilkan calon presiden yang lain.

Seorang lagi pemerhati Arbi Sanit dari Universitas Indonesia pula berkata keputusan terbaik Demokrat mahupun Susilo adalah untuk terus berkerjasama dengan Golkar dan parti utama lain yang berada dalam Kabinet Indonesia Bersatu sekarang kerana jelas kabinet Susilo ini merupakan pilihan utama rakyat.

"Ini berdasarkan beberapa survei bahawa pasangan Susilo-Jusuf sudah melakukan usaha yang terbaik untuk Indonesia dan segenap lapisan rakyatnya," katanya yang menyifatkan bahawa secara kualitatif pasangan itu juga terbaik terutama dari segi kestabilan pemerintah dan pertumbuhan ekonomi yang mencapai 6 peratus sejak 2004.

"Bagi Golkar pula, jika Jusuf Kalla tidak mahu 'terjerumus ke jurang penamat' karier politiknya, Susilo adalah pilihan terbaik kerana jika Jusuf berganding dengan Megawati atau tokoh-tokoh lain samalah seperti terjun ke jurang itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain