suria

Kucing tiba-tiba manja... Betulkah si bulus boleh ‘hidu’ jika tuannya hamil?

Kucing dikatakan peka dengan perubahan diri tuannya.

PARA ibu pasti bersetuju jika kehamilan tidak dapat diketahui secara langsung, apalagi di awal usia kandungan sehinggalah mereka mengalami alahan yang teruk.

Malah, terdapat ibu yang mengetahui diri mereka hamil apabila usia kandungan sudah menjangkau empat hingga lima bulan.

Meskipun awal kehamilan sukar dikesan, namun terdapat beberapa tanda dari tubuh yang kerap memberi signal, firasat seorang wanita juga tepat ya!

Antara perubahan fizikal yang boleh diketahui pada awal kehamilan adalah peningkatan suhu badan kerana faktor kesuburan.

Pun begitu, bagi pencinta haiwan terutamanya kucing, mereka pasti berasa pelik melihat perubahan si bulus yang tiba-tiba merapatkan dirinya.

Iyalah, kucing yang sinonim dengan perwatakan misteri serta suka menyendiri sebelum ini, sentiasa datang menemani anda dan bergesel di kaki meminta dibelai setiap masa.

Ada juga yang berhadapan dengan situasi si comel itu ingin tidur bersama pada waktu malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tolong pujuk! Ini tanda-tanda si bulus kesayangan sedang bersedih

Berdasarkan laporan kompas.com, ia berikutan haiwan manja itu dapat mengesan perubahan yang berlaku disebabkan pertambahan suhu badan dan tingkah laku tuannya, meskipun anda belum menunjukkan tanda-tanda kehamilan.

Si bulus dikatakan gemar berada di atas perut ibu hamil.

Si bulus dikatakan gemar berada di atas perut ibu hamil.

Ini kerana, semasa hamil, anda akan mengalami perubahan yang banyak pada tahap hormon iaitu tubuh lebih menghasilkan banyak progesterone, estrogen dan hormon human chorionic (hCG).

Perubahan hormon ini boleh membuatkan bau badan anda berubah dan sekali gus dikesan oleh si bulus yang sememangnya mempunyai deria bau kuat.

Aliran darah dalam tubuh akan turut meningkatkan metabolisma lebih kurang 20 peratus, oleh kerana suhu badan yang lebih tinggi semasa hamil, kucing akan suka berdampingan kerana gemarkan kehangatan.

Perkara yang sama turut dikongsikan seorang pelayar TikTok bernama Aresha.

Menurutnya, perubahan yang berlaku pada tabiat bulus adalah disebabkan suhu badan anda yang lebih tinggi berbanding biasa apabila hamil.

“Oleh sebab itu, kucing akan suka berdampingan dengan anda daripada kebiasaannya.

“Kucing juga dapat mengesan perubahan dalam tabiat tingkah laku atau rutin harian anda,” katanya.

Malah katanya, meskipun tiada bukti saintifik yang menyokong kenyataan tersebut namun para ibu yang memiliki kucing mengakui kebenarannya.

Ia turut dipersetujui oleh beberapa pelayar TikTok yang berkongsi pengalaman bersama si bulus di ruangan komen.

"Betullah, kucing saya tiba-tiba suka peluk perut sampailah saya tahu rupanya ada si kecil dalam perut.

"Kucing saya akan hari-hari datang letak kepala dia kat perut saya, tak kisah sama ada tengah duduk atau baring... dia akan datang letak tangan dia.

"Kucing saya manja, tidur dekat dengan perut siap pakej urut lagi. Nak ke toilet pun dia ikut, kemana-mana pun ikut... risau agaknya dia.

"Sebelum check UPT, si oyen selalu duduk atas perut sampai pelik. Padahal sebelum hamil bukan main payah nak letak atas perut," ujar beberapa netizen mengakui kebenaran kenyataan itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain