suria

Kenali 5 pemain termahal Liga Super 2019

Baddrol, Safiq (tengah) dan Insa (kanan) berada senarai kelompok 15 teratas nilai pasaran pemain Liga Super 2019.

STATUS sebagai pemain profesional dan berpengalaman antara faktor meningkatnya nilai seseorang pemain di pasaran.

Bagi aksi Liga Super, lima kelompok teratas yang mempunyai nilai pasaran tertinggi dikuasai oleh pemain import.

Tetapi terdapat dua pemain tempatan yang tersenarai dalam kelompok 15 terbaik iaitu Safiq Rahim (12) dan Baddrol Bakhtiar ditangga ke-16.

Safiq yang pernah mencipta rekod terbaik bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai nilai pasaran 400,000 euro (RM1.8 juta) manakala Baddrol pula nilainya RM1.6 juta.

Jom kita lihat lima pemain yang mempunyai nilai pasaran paling tinggi tahun ini:

1. Diogo Luis Santo

Santo merupakan penyerang utama JDT mendahului status sebagai pemain paling mahal dalam sejarah Liga Super setakat ini dengan nilai pasaran mencecah sejuta euro (RM4.6 juta).

Pemain kelahiran Brazil berusia 32 tahun menyarung jersi JDT tahun ini selepas 3 tahun berkelana di Buriram United.

Kehadiran Santo turut membantu skuad kendalian Benjamin Mora ini terus menguasai liga musim ini.

Santo dan Cabrera (kanan) antara pemain yang mempunyai nilai pasaran tinggi dalam Liga Super.

2. Leandro Velazquez

Seorang lagi pemain import JDT menguasai kedudukan sebagai pemain yang mempunyai nilai pasaran tinggi dengan harga 800,000 euro (RM3.6 juta).

Pemain tengah kelahiran Argentina berusia 30 tahun ini tiba di Johor awal musim ini sekaligus memperkuatkan jentera serangan.

Dia merupakan bekas pemain kelab Rionegro Aguilas.

Velazquez berharga RM3.6 juta.

3. Natxo Insa

Insa antara pemain import berprofil tingga dari Sepanyol. Dianggap antara pemain senior pada usia 33 tahun, dia berkongsi pengalaman bermain dengan beberapa kelab terkenal dunia termasuk Lavente dan Valencia.

Dia berkongsi nilai pasarannya bersama Velazquez.

4. Sanzhar Shaakhmedov

Pemain kelahiran Uzbekistan berusia 28 tahun ini turut disenarai antara pemain termahal dalam Liga Super. Tiba di Terenggau tahun ini selepas berhijrah dari Lokomotiv Tashkent, dia bermain di posisi penyerang dengan nilai pasarannya juga mencecah RM3.6 juta.

Shaakhmedov berada dalam kelompok lima pemain paling tinggi nilainya musim ini.


5. Gonzalo Cabrera

Pemain sayap JDT ini antara yang menjadi perhatian tiba di JDT tahun lalu. Pada usia 30 tahun pemain kelahiran Argentina ini pernah beraksi untuk kelab Al-Faisaly, Botosani dan Defensa y Justicia.

Dia dianggarkan bernilai 750,000 euro (RM 3.5 juta). -  Transfermarkt.co.uk






Artikel Lain