Dilema antara sukan 'ganas' atau tidak, akhirnya gadis ini pilih ragbi dan diiktiraf pemain terbaik wanita negara - Personaliti Sukan | mStar

Dilema antara sukan 'ganas' atau tidak, akhirnya gadis ini pilih ragbi dan diiktiraf pemain terbaik wanita negara

Rozy kini tahun ketiga mewakili negara dalam sukan ragbi.

BENAR kata orang, nak berjaya jangan takut untuk mencuba. Dan itulah yang dilakukan atlet ragbi wanita negara, Rozliana Mohd Ridwan.

Biarpun sukan ragbi lebih sinonim dengan kaum lelaki di negara ini, namun siapa sangka pasukan wanita kebangsaan sudah melakar sejarah tersendiri dalam sukan berkenaan di tanah air.

Malahan Rozliania atau lebih mesra disapa Rozi membuktikan golongan wanita juga mampu mencipta nama dalam acara ini diperingkat antarabangsa.

Dalam tempoh tiga tahun menceburi acara ini, wanita berusia 29 tahun ini berjaya meraih Anugerah Wanita Terbaik Peringkat Kebangsaan pada majlis Anugerah Ragbi Kebangsaan 2019 baru-baru ini.

Rozy kini fokus untuk kejohanan Siri Ragbi Asia 7s dan Sukan SEA hujung tahun ini.

Mengimbas kembali kariernya dalam sukan ini, Rozi memberitahu segala-galanya berlaku tanpa dirancang.

“Sebenarnya ketika itu tahun 2016, saya aktif bermain bola jaring dan mewakili Kuala Lumpur.

“Satu hari kawan saya ajak main ragbi dalam satu kejohanan terbuka dan tanpa berfikir panjang saya bersetuju walaupun tidak pernah menyentuh bola ragbi dan bermula dengan ‘zero’.

“Mungkin minat mendalam dan aktif bersukan membuatkan saya dapat memberi persembahan baik pada perlawanan tersebut dan seterusnya rezeki saya dipanggil untuk menyertai pemilihan skuad kebangsaan bagi persediaan Sukan SEA 2017,” kongsinya kepada mStar.

Menurut Rozi, dia pada mulanya dalam dilema untuk memilih antara bola jaring atau ragbi kerana telah dipanggil untuk pemilihan bagi kedua-dua acara berkenaan.

Skuad ragbi Malaysia yang terlibat dalam Kejohanan Siri Ragbi Asia 7s.

“Selepas berfikir panjang, saya memilih acara ragbi sebagai karier dan sejak itu saya tak toleh lagi.

“Saya memilih ragbi kerana ia sesuatu yang baharu dan saingan untuk pergi lebih jauh, lebih luas berbanding bola jaring yang mempunyai ramai pemain lebih hebat untuk disenaraikan dalam skuad negara.

“Dan sejak itu saya hanya fokus ragbi dan gembira kerana semakin lama, perasaan untuk membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi semakin kuat.

“Apa yang saya rasa, sukan ragbi ini agak berbeza dengan acara lain kerana semangat untuk menang itu sukar untuk diluahkan, hanya ketika di padang sahaja tahu macam mana nak berjuang untuk menang,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Tambah Rozi lagi, demi negara dia menangguhkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang sains sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) supaya fokus untuk kejohanan penting tahun ini.

“Tahun ini pasukan ragbi wanita Malaysia terlibat dalam kejohanan Siri Ragbi Asia 7s yang berlangsung di beberapa negara.

“Sebaik sahaja tamat perlawanan siri tersebut, saya akan terus kembali ke kem latihan kebangsaan bagi pemilihan pemain ke Sukan SEA di Filipina hujung tahun ini," katanya yang berharap pasukan wanita berjaya mara ke final pada kejohanan dwi tahunan itu nanti.

Dalam pada itu, penggemar Nasi Ayam Penyet ini mengakui, tanpa sokongan keluarga dia tidak akan berada di tempat sekarang.

Aksi Rozy (kiri) dalam satu perlawanan.

“Pada awal penglibatan saya dalam sukan ragbi ini, ibu bapa saya agak tidak bersetuju kerana ia dianggap sukan lasak dan boleh mendatangkan kecederaan serius.

“Tetapi apabila melihat saya bersungguh-sungguh memberi komitmen, akhirnya mereka akur dan kini memberi sokongan yang kuat.

“Jika ada perlawanan di Lembah Klang, mereka tidak pernah terlepas untuk hadir memberi sokongan.

“Sebenarnya sukan ragbi ini tidaklah ‘ganas’ seperti yang dilihat. Kalau betul teknik permainannya ia tidak mendatangkan kecederaan,” katanya yang berharap lebih ramai golongan wanita menceburi acara sukan ini.

Tambah Rozi, dia bercita-cita ingin menjadi atlet sukan yang berjaya satu hari nanti.

“Mungkin sukan ragbi wanita tidaklah mendapat sambutan seperti acara sukan lain, tetapi saya yakin ia mampu melakar sejarah sukan sendiri kalau kita terus komited dan fokus.

“Saya jadikan Datuk Nicol Ann David sebagai idola kerana beliau seorang yang berdisiplin tinggi dalam mencapai sesuatu yang diinginkan," ujarnya.

Rozi , ragbi , wanita , Malaysia

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

Tikam jemaah masjid, seorang lelaki ditahan