suria

Benam Romania Hadiah 'Bermakna' Kepada Penyokong Albania - De Biasi

Pemain Albania meraikan kemenangan mereka.

PENGURUS Albania Gianni De Biasi percaya kejayaan anak buahnya ketika menundukkan Romania 1-0 pada aksi peringkat Kumpulan A Euro 2016 merupakan hadiah cukup bermakna kepada penyokong pasukan itu.

Ini kerana pasukan itu beraksi buat pertama kalinya pada kejohanan berprestij antarabangsa.

Gol daripada penyerang Armando Sadiku iaitu jaringan pertama Albania pada saingan Euro membantu pasukan itu memenangi perlawanan utama dan yang pertama menentang Romania dalam tempoh 68 tahun.

Romania cuba bangkit di babak kedua, dan percubaan terbaik mereka hadir menerusi pemain gantian Florin Andone.

Namun percubaannya terkena palang ketika permainan berbaki 15 minit.

Keputusan itu menyaksikan Albania memintas kedudukan Romania di tempat ketiga selepas skuad kendalian Anghel Iordanescu hanya mengumpul satu mata.

Pasukan tuan rumah, Perancis pula muncul juara kumpulan diikuti Switzerland.

Kemenangan itu membolehkan Albania kembali menghidupkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati Euro 2016.

Bagaimanapun Albania perlu menunggu keputusan kumpulan lain untuk melihat sama ada mereka mampu mara sebagai satu daripada empat pasukan terbaik tempat ketiga.

Hanya empat pasukan terbaik di kedudukan ketiga daripada enam kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati kejohanan itu.

Senarai Pemain:

ROMANIA: Tatasuranu; Sapunaru, Grigore, Chiriches, Matel; Prepelita, Hoban; Popa, Stanciu, Stancu; Alibec.

ALBANIA: Berisha; Hysaj, Ajeti, Mavraj, Agolli; Abrashi, Basha, Memushaj; Lila, Sadiku, Lenjani.


Euro 2016, Albania, Romania

Artikel Berikut

Artikel Lain