suria

Itali Rai Kejayaan Benam Sweden

Eder meraikan jaringannya.

"APABILA seseorang bekerja keras, kejayaan pasti akan sentiasa hadir."

Demikian kata hero Itali, Eder yang menjaringkan gol tunggal buat The Azzuri untuk menewaskan Sweden pada saingan peringkat Kumpulan E di Toulouse, awal pagi Sabtu.

Kemenangan itu membolehkan Itali melangkah ke pusingan kalah mati dengan mengutip enam mata daripada dua perlawanan selepas menundukkan Belgium pada aksi pembukaan.

Eder menjaringkan gol berharga buat pasukan itu ketika perlawanan berbaki dua minit.

"Saya amat berbangga dan gembira kerana usaha keras kami akhirnya membuahkan hasil.

"Saya juga gembira selepas tamat perlawanan menentang Belgium kerana saya rasakan ia persembahan yang hebat walaupun saya tidak menjaringkan sebarang gol.

"Apabila seseorang bekerja keras, kejayaan pasti akan sentiasa hadir. Tiada lagi istilah perlawanan mudah kerana kami menyedari saingan pasti sengit," katanya.

Pada awalnya, perlawanan itu diramal akan berakhir tanpa sebarang jaringan sehingga Eder merembat masuk kuisan Simone Zaza yang gagal ditepis penjaga gol Sweden Andreas Isaksson.

"Ia detik yang menggembirakan. [Lorenzo] Insigne dan [Ciro] Immobile tidak beraksi tetapi mereka datang memeluk saya selepas tamat perlawanan dan itu membuktikan keakraban kami.

"Saya dedikasikan gol ini kepada semua dalam pasukan ini, sesiapa sahaja yang bekerja keras sejak setahun lebih yang lalu," katanya.

Senarai Pemain:

ITALI: Buffon, Barzagli, Bonucci, Chiellini, Florenzi, Parolo, De Rossi, Giaccherini, Candreva, Pelle, Eder.

SWEDEN: Isaksson, Johansson, Granqvist, Olsson, Larsson, Kallstrom, Ekdal, Forsberg, Ibrahimovic, Guidetti.

Itali, Sweden

Artikel Lain