suria

Pemain Kelantan perlu tangani kelemahan situasi bola mati

Pemain Kelantan Raul Andres Tarrangona (kiri) diasak pemain Sabah Tae Su Park (tengah) semasa pertemuan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam Jumaat. - fotoBERNAMA

PEMAIN Kelantan perlu mengatasi kelemahan ketika berdepan situasi bola mati, kata Ketua Jurulatihnya Marko Kraljevic.

Marko, jurulatih kelahiran Jerman yang fasih berbahasa Malaysia berkata kelemahan itu menyebabkan Kelantan gagal mengutip tiga mata penuh dalam pertemuan menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan, Jumaat malam.

"Kelemahan itu jelas kelihatan apabila ketiga-tiga gol pasukan pelawat dijaringkan menerusi sepakan percuma, sepakan penjuru dan lontaran bola ke dalam menyebabkan pasukan kami hampir ditewaskan.

"Saya dan pemain perlu mengatasi kelemahan ini supaya ia tidak menjadi sasaran pasukan lawan dalam perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut, malam Jumaat.

Pada perlawanan itu, Kelantan sekadar memperoleh satu mata selepas seri 3-3 dengan Sabah.

Tiga gol pasukan tuan rumah dihasilkan oleh pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior seawal minit keenam perlawanan menerusi sepakan penalti, Nik Akif Syahiran Nik Mat (minit ke-51) dan Muhammad Danial Haqim Draman pada minit ke-88.

Tiga gol Sabah dijaringkan oleh pemain import dari Serbia, Luka Milunovic pada minit ke-12 dan dua gol Maxsius Musa pada minit ke-78 dan minit ke-86.

Dalam pada itu, Marko berkata kombinasi antara pemain juga perlu dipertingkatkan walaupun ramai pihak berpuas hati dengan keputusan pada malam tadi.

"Saya lihat malam ini ada sedikit peningkatan daripada segi kombinasi terutama pemain import walaupun tidak mempunyai kecergasan yang baik.

"Pemain diharapkan cepat mengatasi kelemahan-kelemahan ini bagi mengelakkan pasukan terus kehilangan mata," katanya. - BERNAMA

Kelantan

Artikel Lain