suria

Terus bekerja keras tawan hati penyokong Selangor - Tengku Amir Shah

Tengku Amir Shah (dua, kanan) dan Pengerusi Ganador Marketing Sdn Bhd Datuk John Hii Khim Tung (dua, kiri) menunjukkan jersi utama dan kedua Pasukan Bola Sepak Selangor yang baharu sewaktu majlis pelancaran kedua-dua jersi tersebut pada Sabtu. Foto: Bernama

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan barisan exco FAS untuk terus bekerja keras dalam usaha mengembalikan semula kepercayaan penyokong kepada skuad Gergasi Merah.

Tengku Amir Shah mengakui berbangga dengan sokongan padu ditunjukkan penyokong Selangor, sejak enam bulan lepas setelah baginda membuat pelbagai transformasi semenjak mengambil alih kepimpinan FAS pada Julai 2018 daripada Datuk Seri Subahan Kamal.

"Masih banyak kerja perlu kami lakukan untuk anda (penyokong) semua, tetapi kita berada pada landasan betul. Sejak enam bulan lepas, macam-macam kita dapat lihat. Selangor ada cara kita sendiri. Ya, kita banyak sejarah (kecemerlangan), tapi kita tidak boleh terikat kepada sejarah.

“Kita perlu lebih inovatif dan paling penting mengamalkan pengurusan yang bertanggungjawab terhadap peminat dan pemegang taruh," titah baginda dalam ucapan perasmian pelancaran jersi skuad Liga Super Selangor bagi musim 2019, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Amir Shah yang merupakan Raja Muda Selangor mendedahkan FAS berjaya menarik minat sembilan penaja untuk memberi sokongan kepada pasukan Selangor pada tahun ini, sambil memaklumkan terdapat beberapa pihak swasta turut berminat menaja pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, baginda yakin kemasukan 14 pemain baharu akan memperkuatkan skuad Gergasi Merah untuk memberi saingan kepada pasukan lain dalam Liga Malaysia 2019.

Pada majlis berkenaan, Tengku Amir Shah berkenan melancarkan jersi baharu Selangor bagi musim 2019, melibatkan jersi merah sebagai jersi utama selain jersi putih sebagai jersi kedua dengan menggunakan jenama Joma dari Sepanyol.

Untuk rekod, FAS melancarkan jersi hijau sebagai jersi alternatif pada Disember 2018.

Dalam pada itu, Pengerusi Ganador Marketing Sdn Bhd, Datuk John Hii Khim Tung dalam ucapannya berkata 10 juta helai jersi ketiga Selangor berjaya dijual sejak ia dilancarkan pada bulan lepas.

Syarikat berkenaan merupakan pengedar rasmi barangan Joma di Malaysia.

"Ini satu jumlah jualan yang amat baik memandangkan Liga Malaysia 2019 belum lagi bermula."Ketiga-tiga jersi dikeluarkan Joma ini amat istimewa kerana menggunakan fabrik berbeza dan jersi ini direka khas untuk penyokong Selangor," katanya.

Jersi versi pemain dan peminat, masing-masing dijual dengan harga RM99 serta RM49 dan peminat boleh mendapatkan jersi berkenaan di stor Joma dan kedai sukan terpilih.-Bernama

Barisan pemain Selangor musim 2019:

A Namathevan, Taylor Regan (Australia), Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, Asmawi Yakin, K. Kannan, K. Sarkunan, Sean Eugene Selvaraj, Antonio Timothy German (Grenada), Wan Zack Haikal Wan Nor, Endrick dos Santos (Brazil), Abdul Latiff Suhaimi, Abdul Halim Saari, Mohd Faiz Nasir, K. Prabakaran, Muhammad Syahmi Safari, Nurridzuan Abu Hassan, Norhakim Isa, Haziq Ridwan, Muhd Syukri Azman, Azreen Zulkafali, Michal Nguyen (Vietnam), D. Kugan, Farizal Harun, Mohd Syazwan Zainon, Rufino Segovia del Burgo (Sepanyol), Mohd Amri Yahyah (kapten).

Selangor, tengku Amir Shah

Artikel Lain