suria

TFC II pastikan Piala Cabaran milik Terengganu

Tengku Hazman (dua, kiri) bersama Jurulatih UKM FC Sulaiman Hussein (dua, kanan), Ketua Pasukan TFC II Mohd Hasbullah Awang (kiri) dan Ketua Pasukan UKM FC Hasnan Ahmad bergambar bersama Piala Cabaran sempena Perlawanan Akhir Kedua Piala Cabaran pada sidang media di Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada Ahad. - Bernama

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) optimis trofi Piala Cabaran yang julung kali dipertandingkan akan menjadi milik pasukan itu pada perlawanan aksi final kedua menentang UKM FC di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, malam Isnin.

Jurulatihnya, Tengku Hazman Raja Hassan berkata pemainnya tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan lawan apatah lagi selepas berjaya mengharungi lapan perlawanan dengan keputusan yang baik hasil semangat juang tinggi para pemain.

“Ini adalah satu peluang yang terhidang di depan mata dan kita akan ambil peluang ini untuk pastikan piala ini kekal di Terengganu.

“Saya akan pastikan pemain kita tidak melakukan kesilapan'bodoh' dan bermain bermati-matian untuk perlawanan akhir kedua serta  kekalkan rentak permainan yang cemerlang,” katanya pada sidang media praperlawanan Piala Cabaran di Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), di sini, Ahad.

Turut hadir, jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussein dan kapten TFC II, Mohd Hasbullah Awang.

Sementara itu, Sulaiman berkata beliau yakin pasukannya masih mempunyai peluang  pada perlawanan esok biarpun Terengganu FCII mempunyai kelebihan dua jaringan di tempat lawan.Pada final pertama di Stadium Shah Alam, Isnin lalu, kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Beliau berkata ini adalah peluang terbaik untuk pasukannya mencipta kemenangan dan akan berusaha memberikan saingan sengit sepanjang 90 minit perlawanan.“

”Bermain dengan pasukan seperti Terengganu FCII bukanlah jalan yang mudah tetapi UKM FC telah membuktikan pencapaian yang sangat baik apabila beraksi di perlawanan akhir Piala FAM tahun lalu dan Piala Cabaran tahun ini.

“Bermain di tempat sendiri atau lawan tidak menjadi masalah kerana kami datang ke sini dengan azam untuk menang,” katanya. - Bernama

Terengganu FC II

Artikel Lain