suria

Malaysia dipilih jadi tuan rumah aksi kelayakan Piala AFC 2020

JOHOR BAHRU: Malaysia akan menjadi tuan rumah aksi kelayakan kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) 2020, pada Mac tahun depan.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John berkata majlis undian bagi saingan kelayakan tersebut akan diadakan dalam tempoh terdekat.

"Malaysia dipilih sebagai salah satu tuan rumah bagi aksi kelayakan AFC Bawah 23  yang akan bermula Mac tahun depan.

"Kita (AFC) bersedia dari segi peraturan pertandingan, buat undian dan sebagainya. Sekarang tinggal tunggu hari undian sahaja," katanya ketika ditemui pemberita pada Seminar Pentadbiran Sukan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata 11 negara bakal menjadi tuan rumah kerana aksi kelayakan berkenaan akan melibatkan 44 pasukan.

“Jadi kita tunggu majlis undian untuk lihat pasukan mana yang akan diundi dalam satu kumpulan dengan Malaysia dalam saingan kelayakan itu," katanya.

Beliau berkata, 16 daripada 44 pasukan yang bersaing dalam pusingan kelayakan tersebut, akan berentap pada pusingan akhir kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung di Thailand pada 2020.

Dalam pada itu, seminar yang dianjurkan Persatuan Hoki Johor itu perlu diadakan dari semasa ke semasa bagi memantapkan industri sukan negara.

Terdahulu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib berkata menerusi seminar itu pelbagai perkara akan dibincang termasuk berhubung pentadbiran sukan, program serta permasalahan dalam industri sukan.

"Hari ini, penceramah yang datang masing-masing mempunyai kepakaran dan pengalaman luas yang boleh dikongsi dalam usaha memajukan sukan di negara kita," katanya ketika berucap merasmikan seminar berkenaan. - Bernama


AFC 2020

Artikel Lain