suria

Choong Haan beri nasihat buat juara Terbuka Taiwan

Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan badminton negara, Wong Choong Hann menasihati pemain yang baharu menggenggam kejuaraan di Terbuka Taiwan, Lee Zii Jia supaya memiliki sikap 'dahagakan' ilmu baharu demi meningkatkan mutu permainannya.

Choong Hann yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia sekitar tahun 2002 berkata masih banyak yang perlu Zii Jia pelajari untuk mencapai status pemain yang digeruni pihak lawan.

“Jangan cepat berpuas hati. Beliau harus memiliki sifat untuk sentiasa mencari ilmu pengetahuan yang baharu dan mempelajari teknik-teknik lain untuk menjadi pemain yang hebat pada masa akan datang.

“Saya dapat lihat dalam permainannya di Terbuka Taiwan pada perlawanan separuh akhir, beliau betul-betul berusaha walaupun diberi tentangan yang cukup hebat dan tidak berputus asa. Itulah sifat seorang juara,” katanya.

Choong Hann, 41, ditemui media pada majlis memperkenalkan senarai pemain Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC) bagi menghadapi saingan Purple League 2018/2019 yang akan berlangsung Disember ini.

Zii Jia mengakhiri kemarau 14 tahun Malaysia di Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan apabila menjuarai acara perseorangan lelaki selepas menewaskan pemain Jepun Riichi Takeshita 21-17, 16-21, 21-11 di Arena Taipei pada Ahad lepas.

Kali terakhir Malaysia menjuarai perseorangan lelaki kejohanan itu ialah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2004.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, AJBC kali ini dilihat lebih bersedia untuk menghadapi cabaran Purple League 2018/2019 selepas hanya menduduki tempat keenam pada penampilan musim lepas apabila membariskan nama-nama besar antaranya juara dunia 2018, Kento Momota dari Jepun dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon.

Pengurus pasukan, Ho Khek Mong berkata barisan pemain kali ini adalah senarai pemain yang terbaik yang pernah dimiliki kelab itu sepanjang menyertai pertandingan terbabit.

“Dengan adanya Momota dan Peng Soon serta ditambah dengan beberapa lagi pemain tempatan saya rasa ia ramuan terbaik untuk kelab kami meraih kejuaraan pada kali ini,” katanya.

Pada majlis yang sama, AJBC juga telah mengumumkan mereka menerima tajaan bernilai RM2 juta daripada lima penaja iaitu Aeon Credit, Senheng, Dunlop, University of Nottingham Malaysian Campus dan Beko untuk menghadapi saingan Purple League musim baharu itu.-Bernama

Wong Choong Hann, Lee Zii Jia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain