suria

KBS jumpa Pengarah Podium minggu depan gara-gara atlet tidak menyerlah

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Program Podium Tim Newenham minggu depan.

Beliau berkata pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan berkenaan beberapa atlet podium yang tidak menyerlah pada temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang serta kegagalan menempatkan Malaysia dalam 10 kelompok terbaik.

Selain gagal di Sukan Asia, kontinjen negara turut gagal berada di kelompok 10 terbaik di temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

“KBS akan panggil beliau untuk dapatkan penjelasan (berhubung perkara itu). Pihak ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan duduk bersama sekali dan kita tengok apa yang patut dilakukan,” katanya pada sidang media pasca Sukan Asia 2018 di KBS pada Selasa.

Ditanya mengenai status Program Podium, Syed Saddiq berkata beliau perlu mendapatkan laporan penuh ‘post-mortem' mengenai Sukan Asia sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, perbincangan rapi juga akan dijalankan dengan pihak yang terlibat bagi menentukan masa depan Program Podium termasuk atlet, jurulatih, persatuan sukan dan pihak pengurusan.

“Untuk tamatkan sekarang tidak adil... perlu ada pelbagai perbincangan dan dapatkan input daripada pemegang taruh. Kalau perlu penambahbaikan atau rombakan yang besar kita perlu nilai semua cadangan, perlu dapat input daripada pihak yang terlibat.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak MSN dan ISN bahawa perlu ada rombakan yang besar daripada struktur pengurusan, sistem peruntukan, struktur ganjaran dan hukuman supaya kita dapat pastikan kesilapan dapat dielakkan dan kejayaan yang dikecapi dapat diteruskan,” katanya.

Malaysia menduduki tempat ke-14 di Sukan Asia yang melabuhkan tirai pada 2 Sept lepas dengan meraih tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa manakala di Sukan Komanwel, Malaysia mengutip tujuh emas, lima perak dan 11 gangsa untuk berada di tempat ke-12.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata sukan yang diberikan sasaran tapi gagal meraih sebarang pingat dianggap gagal.

Beliau berkata sukan berkenaan adalah silat yang disasarkan tiga pingat emas gagal berbuat demikian, diikuti karate yang hanya meraih satu gangsa, wushu dan badminton yang pulang dengan tangan kosong.

Bagaimanapun, katanya kebangkitan atlet daripada beberapa sukan lain berjaya memastikan sasaran awal dapat dicapai.

Selain itu, beliau turut menekankan kelemahan dalam aspek kekuatan mental, kecergasan fizikal, taktikal serta teknikal peru diperbaiki dengan kadar segera.

Sementara itu, Syed Saddiq turut mengumumkan pelaksanaan program latihan ke Arah Tokyo 2020 berserta Program Penyediaan Atlet ke Sukan Asia 2022 Hanzhou, China dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Katanya, sukan yang mampu menyumbang pingat akan diberikan keutamaan di bawah program berkenaan.

“Berdasarkan pencapaian terdahulu, sukan badminton, terjun dan berbasikal akan menjadi kumpulan utama yang akan diberi perhatian namun beberapa jenis sukan lagi seperti memanah, menembak, pelayaran boleh diberikan sokongan untuk bersaing dengan lebih kompetitif di Sukan Olimpik.

“Beberapa jenis sukan yang telah beraksi cemerlang di Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 sudah semestinya akan diberi peluang untuk meneruskan program latihan ke arah Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2022,” katanya. - Bernama

KBS

Artikel Lain