suria

Tiga lagi atlet angkat berat gagal doping

KUALA LUMPUR: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sekali lagi dihimpit isu doping apabila terdapat tiga atlet pelapis angkat berat didapati gagal ujian doping yang dilakukan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

Tidak mendedahkan nama atlet terlibat, pemangku setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail berkata, IWF mengesahkan tiga atlet tersebut didapati mengambil bahan larangan jenis Stenozolol, hasil keputusan ujian air kencing yang dijalankan pada 28 Mac lalu.

IWF dalam kenyataan media IWF yang disiarkan menerusi laman web rasmi badan tersebut pada Selasa, mendedahkan tiga atlet kebangsan yang didapati mengambil bahan larangan Stanozolol adalah Muhamad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Bin Mohd Nordin dan Ronny Jesos.

“Saya menerima laporan itu semalam, mereka (atlet) sudah maklum tentang perkara ini dan memohon untuk membuka sample B. Mereka telah digantung sementara sehingga laporan sample B diterima mungkin mengambil antara tujuh sehingga 14 hari.

“Atlet yang terlibat ini dibawah program pelapis, hanya seorang sahaja merupakan atlet senior, ketiga-tiga mereka lelaki,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di pejabat Jawatankuasa Pengelola KL 2017 (MASOC), Bukit Jalil di sini hari ini.

Sebelum ini PABM mengesahkan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad gagal dalam ujian doping pada awal bulan ini.

Menyedari persatuan turut berdepan hukuman gantung oleh IWF ekoran kes doping yang semakin merebak, Abu Hanapah berkata PABM akan menjalani siasatan dalaman selepas mendapat maklumat daripada pendengaran kes tiga atlet itu nanti.

“Menerusi mesyuarat baru-baru ini, ada cadangan yang diberikan kepada PABM supaya mengantungkan persatuan negeri yang terlibat. Persatuan negeri turut mengambil peranan apabila kes doping melibatkan atlet mereka, tidak boleh meletakkan kesalahan kepada PABM,” jelasnya.

Namun pendapat berbeza daripada naib presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim berkata atlet angkat berat yang terlibat doping merupakan merupakan atlet pelapis dan kebangsaan yang diserapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) hampir lima tahun.

“Persatuan negeri telah melepaskan atlet mereka lebih lima tahun, sekiranya timbul isu ini, persatuan negeri pula kena tanggung kesalahan mereka, ini tidak adil untuk persatuan negeri...perkara ini perlu perbincangan semula dengan semua pihak.

“Kita juga tidak boleh menyalahkan MSN, kerana atlet tidak boleh dipantau 24 jam, jurulatih hanya boleh pantau atlet ketika latihan, kejohanan sahaja. Kita tidak tahu aktiviti atlet selepas latihan. Memang sukar untuk pantau atlet,” katanya. - BERNAMA

doping, angkat berat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tanglung 'Salah' laris

Artikel Lain