suria

Liga Perdana: UiTM Sasar Kedudukan Dua Teratas

Dr Hassan Said bersama barisan pemain dan jurulatih pada majlis memperkenalkan pemain dan Jersi Pasukan UiTM FC sempena Liga Perdana 2018 di Intekma Resort & Convention Centre (IRCC). -Bernama

SHAH ALAM: Pasukan UiTM FC menyasarkan kedudukan dua teratas dalam saingan Liga Perdana musim ini, yang akan bermula bulan depan, bagi mencapai sasaran untuk layak beraksi di Liga Super 2019.

Presiden UiTM FC, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata hasrat tersebut dijangka dapat  direalisasikan dengan kehadiran dua pemain import baharu skuad itu, Lucas Ramon Pugh, 24, dan Kota Kawase, 26, yang masing-masing berasal dari Argentina dan Jepun.

"Tahun lepas, kita letak sasaran untuk berada dalam kedudukan lima terbaik (Liga Perdana) dan tahun ini dua terbaik.

"Sasaran ini dibuat berdasarkan prestasi dan kemampuan pasukan. Ia juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi yang mahu kita terus menerajui sukan bola sepak negara khususnya untuk golongan mahasiswa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis memperkenalkan barisan pemain, pegawai dan jersi pasukan UiTM FC bagi saingan Liga Perdana 2018 yang disempurnakan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hasan Said pada Khamis.

Pasukan UiTM FC di bawah kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail berada pada kedudukan keenam dalam saingan Liga Perdana musim lepas.

Sementara itu, Hasan berkata pihaknya menyasarkan pasukan UiTM FC untuk mara ke pusingan kedua Piala Malaysia kali ini, berdasarkan prestasi mereka berjaya meraih slot dalam peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia 2017.

"Selain itu, kami juga sasar ke suku akhir Piala FA kali ini," katanya.

Antara pemain tempatan dikekalkan dalam pasukan UiTM FC adalah ketua pasukan, Muhammad Afif Asyraf, penjaga gol Mohamad Soffuan Tawil, pemain tengah Muhammad Izman Solehin dan penyerang, Anwarul Hafiz Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Hasan berkata UiTM akan melancarkan program 'Tokyo Dream' tahun ini, bagi merealisasikan hasrat universiti itu untuk membolehkan mahasiswa universiti bersaing dan seterusnya meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020.Beliau berkata program itu akan memberi tumpuan kepada tiga sukan - berbasikal, memanah dan terjun.

"Kita harap sejarah dapat dilakar di mana warga UiTM memenangi pingat emas dalam sukan itu," katanya.- Bernama

UiTM FC

Artikel Sebelum

FAS Minat Stadium Cheras

Artikel Berikut

Artikel Lain