suria

PFA Rancang Anjur Liga Peringkat Negeri

KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) merancang menghidupkan semula liga bola sepak negeri pada awal tahun depan  dalam usaha  mencungkil bakat-bakat baharu.

Presidennya yang baharu dilantik, Ir Shaharuddin Ismail berkata liga tersebut yang dihentikan kira-kira 30 tahun lalu bertujuan  memberi peluang belia di peringkat akar umbi mempamerkan bakat mereka untuk diketengahkan.

“Liga ini dibuka kepada semua pasukan sama ada yang dinaungi atau tidak, termasuk jabatan dan agensi-agensi kerajaan,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Katanya syarat lain ialah setiap pasukan mesti diwakili sekurang-kurangnya lima pemain berusia bawah 21 tahun.

Shaharuddin yang juga Anggota Parlimen Kangar berkata beliau akan menyumbangkan  piala pusingan untuk liga berkenaan.

“Ramai pemain-pemain ternama Perlis yang mewakili pasukan kebangsaan seperti Bakri Ibni, Saidin Osman, Ibrahim Saad, M. Marimuthu dan Syed Shaharuddin Syed Darus lahir melalui liga seperti ini.

Liga ini saya yakin akan menarik jumlah pemain yang ramai,” katanya.

Pada masa sama beliau berharap anak Perlis yang kini mewakili pasukan luar kembali mewakili negeri itu dalam usaha meningkatkan kualiti pasukan bola sepak Perlis.

Beliau juga berkata satu perjumpaan antara barisan kepimpinan PFA dan penyokong pasukan Perlis akan diadakan di Hotel Seri Malaysia pada Ahad bagi mendapatkan maklum balas mereka untuk kembali menaikkan nama Perlis di persada bola sepak tanah air.- Bernama

Perlis FA

Artikel Sebelum

Hakimi Terima Pingat AMP

Artikel Berikut

Artikel Lain