FAP Tolak Peletakan Jawatan Zairil - Sukan | mStar

FAP Tolak Peletakan Jawatan Zairil

GEORGE TOWN: Barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) malam Rabu sebulat suara menolak peletakan jawatan Zairil Khir Johari sebagai presiden FAP.

Timbalan Presiden FAP Datuk Gary Nair menyifatkan keputusan Zairil meletak jawatan itu dua hari lalu, sebagai tindakan tergesa-gesa kerana menyebabkan pengurusan dan pentadbiran FAP dalam keadaan tidak menentu.

"Hari ini kami adakan mesyuarat dan bertanyakan pendapat semua anggota majlis FAP. Kami semua sebulat suara tidak menerima peletakan jawatan Zairil sebagai presiden. Kita dah tubuhkan sebuah jawatankuasa kecil untuk berjumpa dan memujuk Zairil untuk kekal sehingga penghujung musim. Kita juga ada kekangan kewangan, di mana kita nak cari duit. Kami tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah.

"Anggota majlis dah bersetuju untuk meminta Zairil tunggu sekurang-kurangnya sampai AGM (mesyuarat agung tahunan) November ini. Selepas itu, siapa nak jadi presiden terpulang kepada FAP untuk tentukan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu, di sini malam Rabu.

Selasa lepas, Zairil mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta selepas pasukan Liga Super Pulau Pinang tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Zairil berkata beliau selaku presiden FAP mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan pasukan Pulau Pinang untuk kekal di Liga Super dengan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Berbaki satu perlawanan sebelum Liga Malaysia 2017 berakhir, Pulau Pinang hanya mengumpul 12 mata daripada 21 perlawanan dan kini menduduki tangga tercorot liga.Gary berkata pihaknya akan berjumpa dengan Zairil dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara tersebut.

"Kami juga akan berjumpa Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam masa terdekat. Kami mahu selesaikan perkara ini dengan elok. Kita boleh berbincang untuk tentukan hala tuju pasukan bola sepak Pulau Pinang," katanya.- BERNAMA 

FAP , Zairil Khir Johari

Artikel Sebelum

Keputusan Kelayakan Piala Dunia 2018

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Zairil Tetap Mahu Lepas Jawatan

FAP: Zairil Letak Jawatan

Artikel Lain