suria

Kelantan Di Ambang Penyingkiran

KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail mengakui ketiadaan penyerang yang berkualiti menjadi faktor utama menyumbang kepada pasukannya di ambang penyingkiran ke Liga Perdana musim depan apabila hanya sekadar memperoleh enam kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini.

Malah pada pertemuan menentang PKNS FC malam tadi, Kelantan hanya sekadar memperoleh keputusan seri tanpa jaringan di gelanggang sendiri yang jelas perlawanan tersebut Kelantan amat memerlukan kemenangan.

Zahasmi berkata masalah penyudah (penyerang) memberi kesan besar kepada  pasukan Kelantan apabila kebanyakan perlawanan musim ini, pasukannya gagal menjaringkan gol.

"Kami tidak ada pemain yang boleh menjaringkan gol berbanding pada awal musim, ketika itu pasukan mempunyai pemain import Mohammed Ghaddar di posisi tersebut untuk menghasilkan gol.

"Saya akui pasukan terkesan dengan kehilangan pemain itu (Ghaddar) selepas berpindah ke Johor Darul Ta'azim (JDT) dan terpaksa pasukan mengharungi baki perlawanan tanpa penyerang yang boleh menjaringkan gol," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Selepas 21 perlawanan, Kelantan kini berada di zon penyingkiran apabila berada di tangga ke-11 dengan 19 mata dan peluang untuk kekal dalam saingan Liga Super bergantung harap kepada perlawanan terakhir menentang Melaka United pada 21 Oktober depan di gelanggang lawan iaitu Stadium Hang Jebat, Melaka.

Zahasmi berkata walaupun pasukannya itu sudah berada di kelompok dua pasukan yang akan disingkirkan ke Liga Perdana musim depan namun beliau masih yakin pasukannya itu mempunyai peluang untuk kekal bermain di Liga Super tahun depan.

Katanya Kelantan masih mempunyai peluang sekiranya pemain mampu memperoleh kemenangan menentang Melaka United. - BERNAMA 

Kelantan, Zahasmi Ismail

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hotel Punca Venue Ditukar - FMLLP

Artikel Lain