suria

Coleen Minta Rooney Mohon ‘Cuti Simpati’

COLEEN Rooney meminta suaminya, Wayne Rooney untuk memohon 'cuti simpati' daripada Everton supaya mereka boleh duduk berbincang bagi menyelamatkan rumah tangga yang dibina selepas pemain itu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Penyerang berusia 31 tahun itu bakal berdepan dakwaan di mahkamah selepas dia ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dalam kereta milik Laura Simpson dekat Wilmslow, Cheshire.

Simpson, 29, mendakwa dia merancang untuk melakukan hubungan seksual dengan bintang Everton itu sekiranya mereka tidak ditahan polis.

Spekulasi mengenai rumah tangga mereka sedang bergolak mula bertiup kencang apabila Coleen yang mengandung anak keempat mereka dilihat tidak lagi memakai cincin perkahwinan mereka.

Namun Coleen dilaporkan mahu memberi satu lagi peluang kepada Rooney dan mengharapkan 'cuti simpati' daripada Everton boleh menyelamatkan rumah tangga mereka.

Menurut sumber, skandal tersebut menjejaskan prestasi Rooney di atas padang.

Laura Simpson, wanita yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Rooney.

"Jika Rooney mahu menyelamatkan rumah tangganya, sudah tiba masanya dia meletakkan bola sepak di kedudukan kedua," kata sumber.

Pengurus Everton Ronald Koeman berkata dia amat kecewa dengan insiden itu dan kelab akan menyelesaikan perkara tersebut secara dalaman.

Rooney akan didenda lebih 300,000 pound sterling tetapi Koeman enggan membincangkan sebarang tindakan disiplin yang bakal dikenakan terhadapnya.

Koeman turut mengesahkan Rooney telah bertemu dengannya dan juga Pengerusi Bill Kenwright pada Selasa lalu.

Rooney akan didakwa di mahkamah Stockport pada 18 September ini.

Menurut laporan, Wayne meminta Coleen untuk mengurangkan percutiannya pada setiap tahun tetapi tidak diendahkan isterinya itu.

Coleen sudah bercuti di 10 destinasi tahun ini termasuk Madrid, Majorca, Ibiza, Las Vegas, Barbados dan Portugal.

Namun Coleen dilaporkan merancang untuk bercuti di Dubai bulan depan.

Coleen Rooney, Wayne Rooney

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Coutinho Bakal Turun Padang

Artikel Lain