suria

Chelsea Main Bosan - Mourinho

Jose Mourinho (kiri) dan Antonio Conte.

JOSE Mourinho tanpa berselindung mengkritik Antonio Conte berhubung corak permainan bola sepak Chelsea.

Conte memimpin Chelsea menjadi juara Liga Perdana ketika musim pertamanya dalam bola sepak Inggeris, berikutan perubahan formasi luar biasa 3-4-3 selepas kekalahan 3-0 kepada Arsenal.

The Blues kemudian memenangi 13 perlawanan berturut-turut untuk berada di puncak liga.

Tetapi Mourinho, yang memenangi gelaran pada 2015 sebelum dipecat tujuh bulan kemudian, percaya dia tidak diberikan pujian sewajarnya walaupun gaya permainan skuad bimbingannya lebih menarik berbanding di bawah kendalian Conte.

Dia turut membandingkan permainannya dengan Leicester di bawah Claudio Ranieri.

"Bagi saya, biarlah kita bersikap jujur ​​dan objektif. Tiga juara Liga Perdana terakhir, Chelsea dengan Mourinho, Leicester dengan Ranieri, Chelsea dengan Conte, pasukan mana yang paling menyerang?," katanya kepada The Times.

"Yang mana bermain bola sepak lebih berkualiti? Ia adalah skuad di bawah kendalian saya. Tetapi tiada siapa yang bercakap tentangnya," katanya.

Apabila ditanya sama ada dia terganggu dengan keadaan ini dia menambah: "Saya tidak berfikir perkara ini.

"Saya cuma mahu dipuji tentang hubungan saya dengan para pemain, dengan penyokong kelab yang saya pertahankan. Inilah yang saya mahukan. Selebihnya, saya tak peduli."

Pasukan Manchester United yang kini dikendalikan Mourinho telah memulakan musim ini dengan memenangi kesemua tiga perlawanan liga dengan menjaringkan 10 gol.

United akan berdepan Stoke City pada Sabtu sebelum memulakan kempen Liga Juara-Juara menentang FC Basel pada pertengahan minggu depan.

Antonio Conte, Jose Mourinho

Artikel Lain