suria

Klopp Akan Bantu Oxlade-Chamberlain

Alex Oxlade-Chamberlain. -fotoAFP

KAPTEN Liverpool, Jordan Henderson percaya pengurus Jurgen Klopp akan membantu pemain baharu Alex Oxlade-Chamberlain meningkatkan prestasi dirinya.

Oxlade-Chamberlain, 24, menyertai Liverpool dari Arsenal dilaporkan pada harga £35 juta, pada hari akhir jendela perpindahan ditutup.

Pemain England itu dilihat menjadi sasaran banyak kelab dan turut ditawarkan perjanjian baharu oleh Arsenal, tetapi memilih untuk berhijrah ke Anfield.

Henderson berkata Klopp mampu mencungkil semua kelebihan yang ada pada Oxlade-Chamberlain dan menggilap bakatnya yang bermain dalam musim ketujuh Liga Perdana Inggeris.

"Anda dapat melihatnya (Klopp) di luar, dia sangat bersemangat, apa yang anda lihat dia adalah seorang pengurus yang hebat dan saya fikir dia akan banyak membantu Alex," kata Henderson, memetik fourfourtwo.

"Dia akan membantunya berkembang sebagai pemain yang baik dan diharapkan anda akan dapat melihat lebih banyak perubahan positif terhadap dirinya.

"Saya gembira dia menandatangani kontrak bersama Liverpool, tetapi buat masa sekarang kami bersama England dan tumpuan kami di sini melawan Slovakia dan selepas Isnin, saya pasti kami boleh mula fokus kepada Man City," katanya.

Henderson turut bercakap mengenai kepelbagaian Oxlade-Chamberlain, menyatakan bahawa pemain antarabangsa England itu mampu beraksi di semua posisi.

"Saya fikir dia boleh melakukannya dengan baik, dia pemain hebat, dia boleh menyesuaikan diri dengan setiap posisi, memberikan anda sesuatu yang berbeza di bahagian sayap," katanya.

"Dia sangat mantap di bahagian tengah, dia cukup pintar untuk membuat perancangan."

Liverpool akan berdepan dengan Manchester City pada Sabtu. 

Artikel Sebelum

Pengurus Dedah Dua Idola Harry Kane

Artikel Berikut

Artikel Lain