suria

ECIM, FRM Lancar Klinik Real Madrid Foundation Di Malaysia

NILAI: Epsom College in Malaysia (ECiM), dengan kerjasama Real Madrid Foundation (FRM) melancarkan Klinik Real Madrid Foundation, yang bertujuan menyediakan latihan bola sepak kelas dunia untuk pemain remaja di Malaysia.

Objektif klinik ini adalah untuk memupuk nilai yang mempunyai kaitan dengan identiti Real Madrid C.F dalam kalangan pemain remaja di seluruh dunia.

"Ia bukan sahaja mengenai bola sepak, tetapi juga mengenai sikap menghormati ibu bapa, ketekunan bekerja dan sebagainya. Semoga, melalui kolaborasi ini, kami akan memperoleh lebih banyak idea," kata pengerusi Lembaga Pengelola ECiM Tan Sri Dr Tony Fernandes kepada pemberita selepas majlis pelancaran klinik itu di sini, Selasa.

Turut hadir, bekas pemain pertahanan Real Madrid Roberto Carlos, yang juga Duta bagi Real Madrid C.F dan Real Madrid Foundation Asia.

Pada 2016, kira-kira 35,000 pemain menghadiri klinik itu di lebih 40 negara.

Remaja lelaki dan perempuan berusia antara 11 dan 17 tahun yang menyertai klinik itu berpeluang mendapat bimbingan daripada jurulatih profesional Real Madrid Foundation, yang membawa kaedah latihan kelas dunia kepada beribu-ribu kanak-kanak di seluruh dunia.

Program ini ditaja ECM Libra Foundation, Kenanga Investment Bank Berhad dan Swift Group.

ECiM, yang ditubuhkan pada 2014 dan terletak di Bandar Enstek, adalah sekolah berasrama dan sekolah harian untuk pelajar lelaki dan perempuan.

Artikel Sebelum

Keputusan Pusingan Kedua Piala FA

Artikel Berikut

Artikel Lain