suria

Presiden FAM: Kelibat Lawan Annuar Musa Belum Kelihatan

Beberapa wartawan dan jurugambar sudah berkumpul di Wisma FAM sejak pukul 11 pagi pada 13 Februari 2017.

PETALING JAYA: Kelibat tiga lagi calon yang dijangka akan bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum kelihatan walaupun tempoh pengesahan calon hanya berbaki kurang dua jam sahaja lagi.

Setakat pukul 3.40 petang Isnin, tiga lagi tersebut iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat masih belum tampil untuk membuat pengesahan dengan pihak FAM.

Ketiga-tiga calon itu perlu hadir ke Wisma Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini selewat-lewatnya pukul 5.30 petang Isnin untuk  menyerahkan borang pengesahan pencalonan kepada Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Media sudah mula berkumpul di Wisma FAM sejak pukul 11 pagi Isnin.

Difahamkan Hamidin akan mengadakan sidang media berhubung calon akhir bertanding jawatan tersebut selepas pengesahan pencalonan ditutup.

Setakat ini, hanya bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa yang mengesahkan untuk merebut kerusi panas badan induk bola sepak negara itu apabila menghantar borang untuk menerima pencalonan tersebut pada 6 Februari lalu.

Annuar menyerahkan borang tersebut hanya beberapa jam selepas Tunku Ismail mendapat kebenaran Sultan Johor untuk merebut kerusi panas FAM itu.

Senarai akhir calon akan dibentangkan kepada Exco FAM pada 20 Februari bagi menentukan calon yang layak bertanding pada kongres bagi memilih barisan kepemimpinan untuk penggal 2017-2021 yang akan diadakan pada 25 Mac depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain