suria

Azizulhasni Buru Jersi Pelangi Di Hong Kong

SEPANG: Pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio, Mohd Azizulhasni Awang kini memburu jersi pelangi pada Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong bermula 12-16 April nanti.

Azizulhasni yang segar daripada kejayaan meraih pingat emas acara pecut individu elit lelaki Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India, Jumaat lalu, mahu meneruskan kecemerlangan tersebut dengan muncul juara di Hong Kong.

"Setakat ini prestasi saya baik dan InsyaAllah, jika ada rezeki, bolehmenang jersi pelangi tahun ini. Sejak 2007 saya cuba memenangi jersi itu, mungkin dengan doa semua rakyat Malaysia, tahun ini boleh menang.

"Sejak Sukan Olimpik lepas, prestasi saya memang dah macam meningkat tetapi masih ada banyak lagi yang boleh dibaiki dan ditambah," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini,Ahad.

Jersi pelangi dengan warna asas putih serta lima jalur mendatar berwarna hijau, kuning, hitam, merah dan biru di bahagian dada, adalah jersi yang dihadiahkan kepada juara dunia, yang boleh dipakai dalam perlumbaan di sepanjang tahun oleh pemiliknya.

Azizulhasni sebelum ini pernah meraih pingat perak Kejohanan Dunia pada2009 menerusi acara pecut dan 2010 bagi acara keirin, manakala pada edisi 2015 dan 2016, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa acara keirin.

Di ACC New Delhi, pelumba berusia 28 tahun itu meraih emas selepas menewaskan Tomoyuki Kawabata dari Jepun di final yang diadakan di Velodrom Indira Gandhi, sekali gus menebus kekecewaan menduduki tempat kesembilan dalam acara keirin elit lelaki, Selasa lepas. 

"Sasaran awal saya ialah pulang dengan sekurang-kurangnya satu pingat emas, tetapi agak kecewa kerana terlepas acara pilihan saya keirin. 

"Ia bukan kerana saya tidak boleh ke final atau menang, tetapi sedikit kesalahan teknikal ketika perlumbaan dan kita belajar daripada kesilapan tersebut," katanya.

Skuad negara turut meraih dua gangsa menerusi Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut individu elit lelaki dan Muhammad Nur Aiman Rosli dalam acara omnium remaja untuk menduduki tempat ketujuh kejohanan yang dilangsungkan dari6-10 Februari.

Sementara itu, ketua jurulatih trek negara, John Beasley yang gembira dengan pencapaian tersebut, berkata Azizlhasni dan Muhammad Shah Firdaus sedang menunjukkan peningkatan yang baik dalam prestasi masing-masing.

"Saya sentiasa mahukan lebih banyak pingat tetapi saya tetap gembira dengan pencapaian ini.

Muhammad Shah semakin baik dan sudah bersedia dengan cabaran lebih besar," katanya. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain