suria

Westwood Enggan Rayu Penggantungan

GEORGE TOWN: Ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood tidak akan merayu atas penggantungan empat perlawanan yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil.

Westwood berkata tidak ada gunanya merayu kerana peluang untuk berjaya adalah kecil berikutan rakaman video yang dikemukakan sebagai bukti tidak mempunyai suara dan pastinya tidak berasas.

"Pada pendapat saya, peluang untuk rayuan adalah kecil kerana ia membabitkan kenyataan pegawai perlawanan menentang kata-kata saya...tiada guna fikirkannya, hidup mesti diteruskan," katanya seperti dilaporkan Bernama pada Jumaat.

Westwood berkata beliau sangat pasti dengan perkara itu dan menganggap insiden tersebut hanya satu salah faham.

"Saya tidak melakukan sesuatu yang memalukan dan saya tidak fikir, saya ada melakukan sesuatu yang bodoh atau melulu," katanya.

Westwood juga berkata moral dan persembahan pasukannya tidak akan terjejas dengan penggantungan itu dan mereka kekal fokus bagi memastikan kemenangan apabila berdepan Sarawak, Sabtu.

"Biasanya saya bersama pasukan sebagai mata tambahan bagi melihat prestasi pemain serta memberi motivasi tetapi ketiadaan saya tidak akan menghalang kami kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

"Kami ada mengadakan sesi taktikal dan rakaman video bagi memastikan persiapan pasukan berjalan lancar dan seorang pegawai pasukan akan menggantikan tempat saya," katanya.

Jawatankuasa Disiplin FAM yang bermesyuarat Rabu lalu, mendapati Westwood bersalah mengeluarkan kata-kata kesat ketika Pulau Pinang menentang Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Batu Kawan, 27 Januari lepas.

Penggantungan Westwood bermula dari 4 Februari ketika Pulau Pinang menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Beliau juga akan terlepas tiga lagi perlawanan Liga Super iaitu menentang Sarawak esok diikuti Pahang (18 Februari) dan Kedah (25 Februari).

Westwood turut dikenakan denda RM2,000 serta amaran keras dikenakan tindakan lebih berat jika mengulangi kesalahan sama.

Ashley Westwood, Pulau Pinang, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain