suria

Aksi Lucu Mourinho Jawab Telefon Bimbit Wartawan

JOSE Mourinho memperlihatkan sisi humornya pada sidang media menjelang pertemuan penting Manchester United dengan Liverpool pada Ahad ini yang terganggu seketika apabila telefon bimbit milik seorang wartawan yang hadir membuat liputan berdering.

Semasa kejadian, pengurus kelahiran Portugal itu sedang menjawab beberapa pertanyaan media.

Namun telefon yang digunakan untuk merakamkan sidang media itu yang diletakkan di atas meja dihadapannya berdering dengan kuat.

Pada awalnya Mourinho kelihatan marah dengan gangguan tersebut tetapi tanpa diduga dia bertindak menjawab panggilan tersebut.

Mourinho berkata "Hello" sebelum individu tidak dikenali menjawab sapaan itu tanpa mengetahui ia adalah pengurus United.

"Hi Dom, ini Abi (Abi Paterson) dari talkSPORT," kata individu tersebut.

Mourinho dalam nada berseloroh memberitahu pemberita yang hadir pada sidang media itu bahawa panggilan itu dari talkSPORT.

Kemudian, Dominic McGuinness, wartawan talkSPORT berkata kepada Mourinho, insiden itu tidak sepatutnya berlaku.

Mourinho melihat ke arah McGuinness dan berkata: "Panggilan ini untuk awak? Tunggu sebentar. Ia Abi dari talkSPORT."

McGuinness kelihatan tersipu malu dan mengambil telefon bimbitnya dan memberitahu pemanggil itu dengan berkata: "Anda tidak patut berbuat demikian, Abs. Bukan sekarang. Maaf, saya terpaksa letak panggilan ini."

Mourinho sebenarnya tidak kelihatan terganggu dengan panggilan tersebut kerana dia terus ketawa sebelum bertanya semula kepada media mengenai soalan pada sidang media sebelum itu.

Selepas insiden itu, Paterson menerusi laman Twitter miliknya memuat naik gambar Mourinho menjawab panggilan telefon yang memaparkan wajahnya semasa sidang media sedang berlangsung.

"Sekurang-kurangnya saya memilih gambar yang bagus untuk gambar WhatsApp saya. Hari bertuah," katanya.








Jose Mourinho, Manchester United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain