suria

Kedah Mahu Rai Kejayaan Faiz Subri

ALOR SETAR: Walaupun bermain untuk Pulau Pinang, namun Kedah turut berbangga dengan kejayaan Mohd Faiz Subri merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dikatakan bercadang mahu meraikan kejayaan anak kelahiran Kedah ini.

"Ini kemenangan yang sangat bermakna buat negeri ini dan apa yang diperolehi oleh Mohd Faiz itu telah membuktikan kemampuan pemain kita untuk mencatat nama di peringkat antarabangsa.

"Ini satu lagi kebanggaan buat Kedah dan seluruh rakyat negeri ini termasuk saya amat berbangga dengan pencapaiannya," kata Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar.

Namun beliau berkata majlis bagi meraikannya bergantung kepada jadual pemain itu dan pelepasan oleh majikannya iaitu Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

"Kami merancang untuk mengadakan majlis meraikan Mohd Faiz pada lusa, namun ia bergantung kepada keadaan dan masa kelapangan pemain itu.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ingin memberi sumbangan kepada Faiz sebelum dia berangkat ke Zurich lagi.

"Namun atas faktor kekangan masa dan jadual, dia tidak dapat menghadiri program tersebut, lalu menteri besar memutuskan untuk mengadakan majlis berkenaan pada Khamis ini.

"Ini adalah tanda sokongan moral kami kepada Mohd Faiz. Walaupun dia bermain dengan pasukan Pulau Pinang, dia tetap anak jati Kedah dan apa yang dilakukan adalah untuk Malaysia seluruhnya," kata Aminuddin.

MOhd Faiz Subri, Puska KFA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain