suria

Klopp Pertahan Keputusan Rehat 10 Pemain Utama

Jurgen Klopp.

PENGURUS Liverpool Jurgen Klopp mempertahankan keputusannya untuk merehatkan kebanyakan pemain skuad pertama pada pusingan ketiga Piala FA Inggeris yang menyaksikan pasukan itu terikat seri tanpa jaringan dengan Plymouth Argyle di Anfield.

Keputusan seri itu bermaksud Liverpool terpaksa berdepan sembilan perlawanan sepanjang bulan ini.

Anak buah Klopp sudah dijadualkan beraksi dalam tiga perlawanan lain pada pertengahan minggu iaitu aksi separuh akhir (Piala Liga) menentang Southampton  dan pertemuan getir dengan Chelsea pada saingan Liga Perdana Inggeris.

"Saya buat keputusan untuk melakukan perubahan dan menamakan pemain muda, itulah lumrah kehidupan.

"Dengan barisan pemain lain boleh jadi keputusan mungkin sama. Namun ia pengalaman yang bagus untuk pemain muda," katanya.

Pada masa sama, Klopp bersetuju bahawa Plymouth yang beraksi pada Liga Dua berhak mendapat keputusan tersebut.

"Plymouth layak mendapat keputusan seri dan mengharungi perlawanan ulangan.

"Saya tidak tahu berapa ramai orang tinggal di Plymouth. Namun saya merasakan keseluruhan rakyat Plymouth berada di dalam kotak gol.

"Kami perlu tenang dan bersabar. Ia cabaran besar dalam bola sepak apabila anda beraksi menentang pasukan yang kekal bertahan," kata Klopp.

Sementara itu, Pengurus Plymouth Derek Adams yang menyertai kelab itu pada 2015 turut memuji taktik permainan anak buahnya.

"Ia akan jadi benar-benar naif bagi saya sebagai seorang jurulatih jika mengarahkan pemain saya untuk beraksi bermati-matian menentang pemain Liverpool yang sudah bertaraf dunia.

"Adalah lebih membiarkan mereka mengawal bola dan menyekat pergerakan pemain lawan dan ia ternyata berhasil.

"Kami cuba untuk kekal dalam perlawanan ini dan secara keseluruhannya kami amat berbangga kerana dapat kembali beraksi di Plymouth," katanya.

Plymouth mungkin terpaksa beraksi tanpa kelibat Gary Miller pada perlawanan ulangan akibat kecederaan serius di bahagian buku lalinya.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain