suria

Kafa Jangan Tarik Diri Sebelum Bertemu Saya - Annuar

Annuar Musa.

KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) diminta untuk tidak menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, kata bekas Presidennya, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, beliau berharap agar dapat mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Kafa bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan sejurus beliau pulang dari luar negara pada Selasa ini.

"Saya baru terbaca kenyataan rasmi Kafa selepas kongres semalam. Saya harap Kafa jangan buat apa-apa tindakan tarik diri sebelum bertemu saya. Saya harap mereka (pengurusan tertinggi Kafa) sudi bincang dulu (dengan saya sebelum buat sebarang keputusan).

"Isu Kafa terpaksa lupakan Liga Super (Liga M) bukan satu pilihan. TRW (The Red Warriors) mesti terus berada di Liga Super. Saya juga harap dapat jumpa pemain secara tertutup," katanya menerusi entri terbaharu beliau di laman Facebooknya pada Jumaat malam.

Annuar berkata, sukan bola sepak Kelantan mempunyai kualiti dan jenama tersendiri, namun ia bergantung kepada satu kaedah bagi 'memasarkan' TRW untuk meraih dana bagi menguruskan pasukan.

Kongres Luar Biasa Kafa 2016 yang berlangsung pada Khamis memutuskan sama ada kekal atau menarik diri daripada menyertai Liga M pada 6 Januari depan, iaitu hari terakhir pendaftaran pemain dalam Liga M.

Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, buat masa ini pihaknya masih berusaha mencari penajaan untuk membolehkan Kelantan beraksi dalam saingan Liga M musim depan. - Bernama

Kafa, Annuar Musa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain