suria

Leicester Terancam Ke Zon Penyingkiran

Claudio Ranieri
JIKA musim lalu Leicester City membuat kejutan apabila menjuarai trofi Liga Perdana Inggeris, musim ini berlaku sebaliknya apabila pasukan ini menghampiri zon penyingkiran.

Dalam perlawanan di hadapan penyokong sendiri di Stadium King Power, awal pagi Selasa, Leicester dikalahkan Everton dengan gol 2-0.

Gol Everton diperolehi menerusi Kevin Mirallas pada minit ke-51 dan Romelu Lukaku di hujung perlawanan.


Kekalahan itu menyebabkan Leicester turun ke tangga 16 carta liga dengan 17 mata, hanya lebih tiga mata dari zon penyingkiran.

Everton naik ke posisi ketujuh dengan 26 mata.

Dalam perlawanan ini, dua pemain Leicester, Robert Huth dan penyerang Jamie Vardy tidak diturunkan.

Mengulas perkara ini, pengurus Leicester Claudio Ranieri mengaku kecewa.

Kekalahan terbaru ini adalah yang ke sembilan dialami pasukannya dalam tempoh 18 minggu berlangsungnya Liga Perdana Inggeris.

Leicester hanya mendapat satu kemenangan dalam sembilan perlawanan liga terakhirnya ketika menundukkan Manchester City 4-2.

"Kami telah menguasai perlawanan tetapi tiba-tiba ada tendangan di mana kami bertindak balas sedikit lewat dan mereka menjaringkan gol.

"Selepas itu kami gugup dan mengawal permainan lebih baik.

"Musim ini berlaku begini, tak ada yang 'menjadi', tak ada yang mudah. Kami perlu berusaha dan bertindak balas. Itulah ubat kami. Kami terpaksa terus bersama-sama dalam masa yang buruk ini.

"Kami mahu memberi persembahan yang baik pada Boxing Day, tetapi ia tidak mungkin. Di sini segala-galanya betul dalam tempoh enam bulan pertama dan kini segala-galanya serba tak kena," katanya.


Seterusnya, Leicester akan berdepan West Ham United dalam perlawanan penutup pada 31 Disember.

Artikel Berikut

Artikel Lain