suria

Desakan Tidak Mewakili Semua Penyokong Selangor - FAS

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menegaskan tindakan sekumpulan penyokong yang mendakwa diri mereka sebagai gabungan penyokong Selangor (Gabungan) berkumpul di ibu pejabat persatuan negeri pada Selasa tidak mewakili keseluruhan kelab penyokong, peminat dan rakyat negeri ini.

Berdasarkan satu kenyataan rasmi, FAS menegaskan tindakan kumpulan tersebut mendesak peletakan jawatan ahli exco persatuan selain menimbulkan isu negatif di media arus perdana dan sosial sebagai berniat jahat.

Malah FAS mendakwa, tindakan tersebut didorong oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik dan peribadi.

"FAS amat kesal di atas sikap indvidu yang dipilih memimpin Exco FAS, lari daripada isu sebenar dan membelakangi Perlembagaan FAS yang digunakan sejak dulu tanpa sebarang masalah.

"Malah individu terbabit menimbulkan pelbagai isu yang tidak mempunyai kaitan untuk mengelirukan peminat," tambah kenyataan tersebut.

Awal Selasa, sekumpulan penyokong Selangor yang bergelar Gabungan mengadakan bantahan dan mendesak exco FAS letak jawatan seperti yang disarankan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kumpulan itu menyifatkan kemelut yang berlaku dalam Red Giants atas kegagalan exco menyelesaikan isu dalaman persatuan tersebut.

FAS menjelaskan, ahli-ahli exco dipilih secara sah pada Mesyuarat Agung Tahunan FAS dan memikul tanggungjawab terhadap pengurusan pasukan bola sepak Selangor sehingga 2018.

"Ahli Exco yakin dapat melaksanakan tugas memantapkan pasukan sepanjang tempoh tersebut selain mengulangi janji untuk memastikan SElangor menyertai Liga Malaysia pada musim 2017.

"Sehubungan itu, FAS menyeru para penyokong Merah Kuning agar mengenepikan perbalahan berunsur negatif, sebaliknya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pihak pengurusan," tambah kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, FAS turut menyuarakan harapan kepada Presiden  persatuan itu, Datuk Seri Azmin Ali membantu menyelesaikan tunggakan gaji pada bulan November dan bonus seperti yang telah dijanjikan.

FAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

SIC Tidak Tutup Kedai - Razlan

Artikel Lain