suria

Sanchez Dapati Kehidupan Di London Penuh Tekanan

Alexis Sanchez
ALEXIS Sanchez berkata dia mendapati kehidupan di London penuh dengan tekanan, menyebabkan keraguan terus timbul sama ada dia akan terus bersama Arsenal dalam jangka masa panjang.

Pemain berusia 28 tahun ini mempunyai baki kontrak dengan Arsenal selama 18 bulan lagi, di mana dia ketika ini didakwa tertarik dengan dengan tawaran kontrak bernilai £400,000 seminggu untuk menyertai Liga Super Cina.


Penyerang dari Chile ini telah menjaringkan 14 gol dalam 23 perlawanan musim ini, namun ia belum cukup meyakinkan kelab London itu bahawa dirinya berbaloi untuk menerima lanjutan kontrak, bersama dengan kenaikan gaji yang besar.


Menurut laporan media, dia mahukan kenaikan gaji dari £130,000 seminggu kepada £250,000 seminggu.

Arsenal setakat ini nampaknya hanya menawarkan gaji sebanyak £180,000, manakala Sanchez pula mendakwa bahawa terpulang kepada kelab jika mereka mahu dia melanjutkan kontrak semasanya yang dipersetujui apabila dia menyertai kelab itu dari Barcelona dengan nilai £31 juta selepas Piala Dunia 2014.

Pengakuannya bahawa dia mendapati London penuh dengan tekanan akan meningkatkan spekulasi bahawa dia mungkin akan meninggalkan Stadium Emirates.


"Saya suka pergi ke London untuk makan sesuatu atau untuk minum dengan kawan-kawan saya," kata Sanchez dalam satu temu bual dengan majalah kelab.

"Bagaimanapun, saya ini jenis orang yang sangat suka duduk di rumah dan saya menghabiskan banyak masa di rumah.

"Saya ada juga meneroka bandar ini jika saya ada masa tetapi biasanya saya lebih suka bersantai di rumah. London boleh menjadi tempat yang penuh dengan tekanan kerana ia sesak dan merupakan sebuah bandar yang besar."

"Rutin kami sebagai pemain bola sepak sentiasa memerlukan tenaga. Anda bermain dalam satu perlawanan selepas satu perlawanan, berjumpa dengan orang baru setiap hari dan sentiasa terbang ke sana-sini. Sebab itu saya cuba untuk 'melarikan diri' dan berehat sebaik sahaja saya mendapat sedikit masa."
ALEXIS Sanchez, kota London

Artikel Berikut

Artikel Lain