suria

Tevez Bakal Terima Gaji Paling Mahal Di Dunia

Tevez mengangkat tangan kepada penyokong Boca Juniors selepas menjaringkan gol kedua ketika menewaskan Colon 4-1 pada 18 Disember 2016. - AFP

MAKIN tua makin mahal! Itulah yang boleh digambarkan untuk bekas penyerang Argentina, Carlos Tevez yang bakal menjadi pemain paling mahal menerima bayaran gaji dalam kalangan bintang bola sepak.

Penyerang berusia 32 tahun itu dilaporkan bersedia melengkapkan perpindahan ke China walaupun penyokong kelabnya, Boca Juniors merayu agar pemain kesayangan mereka untuk kekal bersama pasukan tersebut.

Namun Tevez dilihat membuat lambaian penuh emosi kepada penyokong selepas membantu pasukannya menewaskan Colon 4-1 dalam saingan Liga Primera, Ahad.

Lambaian itu memberi petunjuk bahawa bekas pemain West Ham, Manchester United dan Manchester City itu akan menyertai kelab Shanghai Shenhua di Liga Super China dengan menerima bayaran kira-kira 615,000 pound (RM3.43 juta) seminggu.

Dalam perlawanan tersebut, Tevez yang menyumbat dua gol, dikeluarkan pada minit ke-90 sebagai peluang untuk menerima penghormatan daripada penyokong Boca Juniors yang memenuhi ruang stadium.

Malah seorang penyokong menceroboh masuk padang dan melutut di depan Tevez dengan harapan dapat memujuk bintang kesayangan kelab itu agar membatalkan hasrat ke China.

Bagaimanapun, Tevez membalas rayuan penyokong itu dengan memberikan pelukan sebelum beredar dari padang.

Tevez menyertai Boca Juniors pada tahun lalu selepas beraksi bersama Juventus, menjadi pemain berprofil tinggi yang menerima bayaran lumayan di China.

Tevez menyertai bintang Chelsea, Oscar yang melengkapkan perpindahan bernilai 60 juta pound (RM335 juta) untuk menyertai kelab Shanghai SIPG pada minggu lepas.


Berikut adalah senarai 10 pemain bola sepak yang menerima gaji paling mahal:

1. Carlos Tevez (Shanghai Shenhua) RM3.43 juta seminggu/per week RM178.6 juta setahun

2. Oscar (Shanghai SIPG) RM2.23 juta seminggu/RM116.2 juta setahun*

3. Cristiano Ronaldo (Real Madrid) RM2.03 juta seminggu/RM106.1 setahun**

3. Lionel Messi (Barcelona) RM2.03 juta seminggu/RM106.1 setahun**

5. Gareth Bale (Real Madrid) RM1.93 juta seminggu/RM100 juta setahun**

6. Hulk (Shanghai SIPG) RM1.77 juta seminggu/RM92.1 juta setahun

7. Paul Pogba (Manchester United) RM1.62 juta seminggu/RM83 juta setahun

8. Neymar (Barcelona) RM1.61 juta seminggu/RM83 juta setahun**

9. Graziano Pelle (Shandong Luneng) RM1.45 juta seminggu/ RM75.4 juta setahun

9. Wayne Rooney (Manchester United) RM1.45 juta seminggu/ RM75.4 juta setahun

*Perpindahan dilengkapkan pada Januari

**Anggaran jumlah sebelum cukai.


Carloz Tevez

Artikel Sebelum

NGO Gesa KAFA Tidak Tarik Diri

Artikel Berikut

Artikel Lain