suria

Bentuk Pasukan Ragbi Wanita Yang Kuat - LWRA

GAMBAR HIASAN

LABUAN: Malaysia perlu membentuk pasukan ragbi wanita yang kuat untuk berada di kedudukan lima teratas pada Siri Ragbi Wanita Asia 7s sebagai persediaan untuk kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Penaung Persatuan Ragbi Wanita Labuan (LWRA) yang baharu dilantik, Puan Sri Diana Deigo berkata pasukan ragbi wanita kebangsaan tidak berada dalam senarai lima teratas walaupun cubaannya beraksi di kejohanan ragbi Asia baru-baru ini.

"Yang jelas, pasukan negara kita sedang melalui proses pembangunan dan menunjukkan prestasi luar biasa yang berterusan," katanya pada Majlis Makan Malam Karnival Ragbi Labuan ke-16 di sini malam Jumaat.

Diana yang juga isteri kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata pencarian bakat sedang dibuat untuk mengenal pasti pemain berbakat dan mahir menerusi Karnival Ragbi Labuan Terbuka Wanita.

"Kita mempunyai beberapa pemain junior, tetapi bakat mereka perlu digilap sejak dari awal sekolah. Kita akan dapat memilih pemain yang baik menerusi program pembangunan yang berterusan," katanya.

Presiden Kelab Ragbi Kolej Sabah (SCRC) itu juga berkata lebih banyak program pembangunan ragbi akan diadakan pada masa depan untuk mencari bakat pemain ragbi berpotensi di sini bagi kejohanan akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Karnival Ragbi Labuan 2016 Rafi Ali Hassan berkata jumlah peserta pada kejohanan tahun ini mencatatkan sedikit peningkatan daripada peserta tempatan dan luar negara. 

"Sejumlah 50 pasukan dan ada di antaranya yang meletakkan pemain luar negara dari Fiji, New Zealand. Kejohanan ini semakin popular dan sokongan menggalakkan setiap tahun yang mana Brunei, Sabah, Sarawak dan dari Semenanjung terus mengambil bahagian dalam acara dua hari bermula hari ini hingga esok," katanya.

Rafi yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan untuk mendapatkan geran tahunan untuk Persatuan Ragbi Labuan (LRA) bagi menganjurkan acara itu akan dikemukakan kepada kementerian berkenaan.

"Dengan rekod prestasi yang baik, acara ini akan dijadikan acara tahunan untuk menarik pemain antara negeri dan luar negara ke pulau ini," katanya. - BERNAMA

LWRA, Ragbi Wanita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain