suria

PKS Malaysia Kuasai Rowing VBR 2016

KUALA LUMPUR: Pasukan Pusat Kecemerlangan Sukan Malaysia (PKS Malaysia) menguasai saingan Rowing Varsity Boat Race 2016 yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya.

PKS Malaysia meriah tiga emas dan masing-masing dua perak serta gangsa daripada 10 pingat yang dipertandingkan bagi kategori lelaki dan wanita untuk mengumpul 100 mata keseluruhan.

PKS Malaysia merupakan atlet universiti yang terpilih di bawah Program Pusat Kecemerlangan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dan diuruskan oleh Universiti Teknologi Malaysia selaku Pusat Kecemerlangan Sukan Rowing, KPT.

Wakil negara meraih emas dalam acara Lightweight Men Four yang dibarisi Muhammad Najrudin Aziz, Tengku Mirzan Tengku Ghazali, Muhammad Rabni Hashim dan Ahmad Ameerulsaufee Muhammad Saad dengan catatan masa 7.05.28  saat mengatasi University of Morutawa dari Sri Lanka yang mencatat masa 7.07.89 saat dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di tempat ketiga, 7.10.93 saat.

Pendayung wanita PKS Malaysia juga cemerlang dalam acara Lightweight Women Four.

Pasukan yang dibarisi Nurafika Nordin, Nurul Ashila Rubaie, Rachel Lee Kei En dan Siti Nur Fatiha Mohd Jani mencatatkan masa 8.20.14 saat untuk tempat pertama, kedua, pasukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dengan masa 8.34.71 dan ketiga Chinese University of Hong Kong, 8.39.00 saat.

Satu lagi emas PKS Malaysia disumbang melalui acara Lightweight Women Double Sculls yang diwakili Nur Afiqah Jamia Sumeri dan Eleonie Rikan Marten dengan catatan masa 8.44.61 saat. Kedua pasukan dari Universiti Malaysia Terengganu dengan masa 9.23.49 dan ketiga Yangon University yang mencatat masa 9.30.06 saat.

Dua perak PKS Malaysia pula disumbangkan melalui acara Women Eight dan Lightweight Men Double Sculls. Manakala dua gangsa dimenangi dalam acara Men Eight dan Women Single Sculls.

Menurut Pengurus Pasukan PKS Malaysia, Nur Azuwan Azahar, keputusan yang dicatatkan ini cukup memberangsangkan kerana kekurangan kejohanan yang kompetetif di peringkat kebangsaan.

“Kejayaan ini tanda yang positif sebelum pasukan PKS Malaysia menyertai Kejohanan Southeast Asia Rowing Federation yang akan berlangsung di Vietnam pada November ini," ujarnya.

Kejohanan kali ke-10 ini  menyaksikan penyertaan 12 universiti luar negara dan 13 universiti tempatan dan satu pasukan dari Majlis Sukan Politeknik. Turut mengambil bahagian 6 pasukan dari sekolah di sekitar Putrajaya dalam acara Junior Single Sculls, Junior Men Four dan Junior Women Four, 500 meter.

Selain acara Rowing, Varsity Boat Race juga mempertandingkan acara kayak yang mempertaruhkan enam pingat emas kategori Lelaki dan Wanita.

Kejohanan kali ini menyaksikan pasukan dari National University of Singapore muncul juara keseluruhan dengan pengutan dua emas, tiga perak dan satu gangsa. Kedua, Nanyang Technological University dari Singapura dan Ketiga Universiti Pendidikan Indonesia.

Kejohanan Varisity Boat Race anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, dikendalikan Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Persatuan Mendayung Malaysia, Persatuan Kenu Malaysia, Majlis Sukan Universiti Malaysia dan Perbadanan Putrajaya serta disokong Majlis Sukan Universiti Asean.

Majlis Penutup dan Penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM, Prof Datuk Dr Ismail Abdul Aziz.

Artikel Sebelum

Artikel Lain