suria

Pengerusi SIC Perlu Ada Minat Mendalam - Razlan

Razlan (kiri) bersama Mokhzani membuat pemeriksaan permukaan litar yang siap dinaiktaraf pada Mei lalu.

KUALA LUMPUR:  Mempunyai minat yang mendalam terhadap sukan permotoran adalah ciri utama yang perlu ada pada calon Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan muktamad berkaitan calon yang akan mengisi kekosongan jawatan itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan.

"Saya tidak tahu siapa akan mengambil alih jawatan Pengerusi SIC. SIC ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan, jadi keputusan akan dibuat oleh mereka atau perdana menteri sendiri," katanya pada Jumaat.

Razlan berkata apa yang penting, individu yang akan dilantik sebagai Pengerusi itu dapat meneruskan perancangan utama SIC dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang sukan permotoran antarabangsa.

Pada Khamis, satu kenyataan media mengumumkan Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir telah melepaskan jawatan sebagai anggota Lembaga Pengarah SIC berkuat kuasa serta merta, selepas 13 tahun berkhidmat dengan SIC.

Sementara itu, Razlan ketika diminta mengulas mengenai peletakan jawatan itu berkata beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada 10 Oktober lepas.

Katanya alasan peletakan jawatan berkenaan adalah atas sebab peribadi.

Beliau berkata sepanjang perkhidmatan lebih satu dekad itu, Mokhzani telah membawa banyak perubahan dalam sukan permotoran tempatan dan antarabangsa.

"Sebelum SIC mempunyai CEO, beliau sendiri yang menguruskan SIC. Ketika saya masuk SIC, beliau banyak memberi tunjuk ajar serta nasihat untuk memastikan pengurusan SIC ditadbir dengan baik.

"Bekerja dengan beliau adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Beliau mempunyai visi yang jelas untuk SIC dan banyak melancarkan pengurusan SIC sehingga sekarang," katanya.

Razlan berkata Formula Satu dan Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) telah berjaya menarik ramai peminat tempatan dan antarabangsa untuk menyaksikan dua perlumbaan berprestij itu sejak dijalankan di Litar Sepang.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain