suria

"Sampel B Penting" - Chong Wei

Chong Wei menang pingat perak pada acara perseorangan Sukan Olimpik, Rio Ogos lalu.

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei menasihatkan atlet angkat berat yang positif menggunakan bahan terlarang jenis anabolic steroids  ketika menyertai temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Julai lalu menjalani ujian sampel B.

Pemain badminton No.1 dunia itu berkata, ujian sampel B penting kepada setiap atlet yang diuji positif doping bagi mendapatkan keputusan lebih tepat.

"Sampel B penting, sekurang-kurangnya kita boleh tengok (keputusan) 100 peratus betul atau tidak.

"Semasa saya berdepan isu doping, saya tak kisah botol A atau botol B. Sekurang-kurangnya kita tahu keputusan ujian dua sampel tersebut tepat atau tidak," kata Chong Wei.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai atlet angkat berat yang gagal ujian doping akur dengan keputusan itu dan tidak mahu menjalani ujian sampel B.

Pada masa sama, Chong Wei berkata, atlet terbabit perlu menyelesaikan masalah tersebut secara profesional.

"Mereka kena selesaikan masalah itu. Mereka perlu jalani ujian sampel B. Selepas itu baru kita tahu ujian air kencing kita positif atau negatif," katanya.

Pada April tahun lalu, Chong Wei digantung selama lapan bulan setelah keputusan sampel B ujian doping milik beliau disahkan positif mengandungi dadah terlarang jenis dexame­thasone yang biasanya terkandung di dalam ubat tahan sakit dan tidak berfungsi sebagai bahan untuk meningkatkan prestasi seseorang atlet.

Beliau didapati positif doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu telah menyaksikan sendiri ujian sampel B dilakukan di makmal Hospital Universiti Oslo, Norway pada 5 November 2014.

Lee Chong Wei, ujian doping

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain