suria

Kim Swee Bawa 25 Pemain Aksi Menentang Singapura

Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengambil keputusan membawa 25 daripada 30 pemain untuk aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' menentang Singapura di Stadium Nasional Kallang, Singapura pada Jumaat ini.

Tiga pemain tidak dibawa ialah pemain Pahang Matthew Davies yang mengalami masalah kesihatan, pemain Sarawak Ronny Harun akibat kecederaan belakang, manakala pemain Perak Mohd Nasir Basharudin mengalami kecederaan pangkal paha.

Kim Swee berkata penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pula tidak dibawa ke Singapura kerana beliau mahu memberi peluang kepada dua penjaga gol lain - Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dari Selangor dan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Katanya pertahanan Melaka Ahmad Khuzaimi Piee pula hanya akan diturunkan pada aksi persahabatan antara Malaysia dan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober ini.

"Kelima-lima pemain ini bukan digugurkan tetapi mereka tetap akan menjalani latihan ringan dan pemulihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bersama pegawai yang telah kita khaskan sepanjang tiga hari skuad kebangsaan berada di Singapura," kata Kim Swee seperti dipetik dalam laman sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) www.fam.org.my.

"Apabila pasukan kembali ke tanah air pada Sabtu ini, mereka akan bersama semula pasukan untuk sesi latihan penuh sebagai persediaan menghadapi perlawanan bertemu Afghanistan," kata Kim Swee.

Senarai 25 pemain:

Penjaga gol: Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (Selangor), Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak).

Pertahanan: Khairul Helmi Johari (Kedah), Muhammad Shahrom Abdul Kalam (Selangor), Shahrul Mohd Saad dan Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Mohd Fadhli Shas dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Johor Darul Ta'zim), Mohd Rizal Ghazali (Kedah).

Pemain Tengah: Ahmad Fakri Saarani dan Muhd Hadin Azman (Felda United), Abdul Latiff Suhaimi (PDRM), Adam Nor Azlin dan S. Veenod (Selangor), Baddrol Bakhtiar dan Mohd Syazwan Zainon (Kedah), Mohd Amri Yahyah (Johor Darul Ta'zim), Mohd Irfan Fazail dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak (Johor Darul Ta'zim II), Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak), Muhd Safawi Rasid (T-Team).

Penyerang: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor), Norshahrul Idlan Talaha  (Terengganu), Muhammad Fakrul Aiman Sidid (PDRM), Darren Lok (Johor Darul Ta'zim II). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Tenis Terbuka China

Artikel Berikut

Artikel Lain