suria

Tiga KPI Jadi Penentu Masa Depan Kim Swe

PETALING JAYA: Masa depan Datuk Ong Kim Swee selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia akan dinilai penghujung tahun depan setelah melepasi tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tiga KPI berkenaan adalah memperbaiki ranking Malaysia daripada kedudukan ke-158 kepada 140 dunia, mencatat keputusan positif pada Piala AFF Suzuki di Myanmar, Disember ini, selain layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan badan induk itu tidak mahu terburu-buru membuat keputusan mengenai masa depan Kim Swee yang dilaporkan gagal membantu skuad Harimau Malaysia mencatat keputusan positif dalam aksi persahabatan antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Untuk rekod, Kim Swee dilantik oleh FAM sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan selama dua tahun berkuatkuasa 18 Jan lepas.

"Selepas berakhirnya tiga perkara berkenaan barulah FAM akan menilai kontrak Kim Swee penghujung tahun depan," kata Hamidin ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya, Sabtu.

"Kita sentiasa cuba beri yang terbaik untuk skuad kebangsaan walaupun berdepan dengan kekangan masa untuk sesi latihan pusat tapi bagi saya, ini yang terbaik kita mampu buat untuk skuad kebangsaan," kata Hamidin yang merupakan pengurus skuad kebangsaan.

Dalam perkembangan berasingan, Hamidin menjelaskan pihaknya bersedia mempertimbangkan cadangan membawa pulang pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, 18, bagi mewakili skuad kebangsaan namun pemain tersebut perlu melalui proses tapisan yang ditetapkan oleh jurulatih yang terlibat.

Pemain daripada Akademi Bola Sepak St Louis Scott Gallagher itu mendapat perhatian netizen di laman sosial selepas dilaporkan mengikat kontrak profesional dengan kelab Liga Bola Sepak United (United Soccer League), St Louis FC di Amerika Syarikat.

Pemain berkenaan lahir di Carbondale, Illinios dan berpeluang mewakili Malaysia memandangkan ibu bapanya mempunyai darah kelahiran Malaysia.

Terdahulu, Hamidin hadir pada majlis penyerahan bola Ultra Durable kepada ahli gabungan FAM.

Menerusi program tersebut yang mendapat kerjasama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), FAM akan menyerahkan 10,000 biji bola tahan lasak kepada ahli gabungannya untuk digunakan oleh komuniti di dalam dan luar bandar dalam mempromosikan sukan bola sepak secara lebih meluas.

Artikel Sebelum

Kedah Belasah Terengganu 3-0

Artikel Berikut

Artikel Lain