suria

Majoriti Sokong Rooney Digugurkan

MANCHESTER: Majoriti penyokong Manchester United bersetuju bahawa kapten pasukan itu, Wayne Rooney perlu digugurkan daripada senarai kesebelasan utama susulan kekalahan memalukan juara 20 kali Liga Perdana Inggeris di tangan Watford pada Ahad lalu.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh majalah khas untuk penyokkong Manchester United, Red Issue Sanctuary, sebanyak 99.08 peratus responden mahu pemain berusia 30 tahun itu diletakkan di bangku simpanan.

Dalam tinjaun yang bertajuk, "Bagaimana anda menyelesaikan masalah seperti Wayne Rooney?", hanya 0.92 peratus peminat masih menyokong tindakan pengurus kelab, Jose Mourinho mengekalkan Rooney walaupun aksinya sejak kebelakangan ini berada di bawah tahap prestasi sebenar.

Keputusan tinjauan terbabit memberi mesej jelas kepada Mourinho bahawa taktiknya menggunakan Rooney sebagai pemain tengah kurang berkesan dan perlu ditangani segera.

Malah rata-rata penulis sukan termasuk dari portal ESPN, The Times, Irish Times dan The Guardian menganggap Rooney sebagai punca kemerosotan prestasi Manchester United.

Ramai penulis mencadangkan Mourinho menggunakan Rooney sebagai penyerang berbanding pemain tengah yang memerlukan kreativiti, kelajuan dan hantaran yang baik bagi membuka ruang kepada rakan sepasukan.

Selain itu, satu video yang merangkumi aksi buruk Rooney ketika tewas 1-3 di kepada Watford turut membangkitkan persoalan tahap keupayaan kapten England itu untuk mengemudi barisan tengah Red Devils bersama pemain termahal dunia, Paul Pogba.

Video itu yang dikongsi dalam laman YouTube, menunjukkan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Rooney sehingga menjejaskan rentak permainan Red Devils sepanjang perlawanan tersebut tetapi apa yang menghairankan Mourinho masih mengekalkan bintang England itu sehingga tamat perlawanan.

Manchester United kini menduduki tempat ketujuh liga selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut, tidak termasuk kekalahan kepada Feyenoord dalam pertemuan Liga Eropah.

Manchester United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain