Kim Swee Umum Skuad Harimau Malaysia Khamis Ini - Sukan | mStar

Kim Swee Umum Skuad Harimau Malaysia Khamis Ini

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk Ong Kim Swee akan mengumumkan senarai skuad Harimau Malaysia pada Khamis ini, lewat dua hari daripada tarikh asalnya hari ini (Selasa).

Kim Swee berkata penangguhan itu dibuat kerana beliau mahu membuat penilaian terakhir pada perlawanan ke-19 Liga Super yang akan berlangsung malam esok.

"Senarai awal 45 pemain yang dalam perhatian untuk dipanggil bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini sebenarnya sudah pun dikenal pasti.

"Namun saya terpaksa menangguhkan pengumuman senarai pemain sehingga selepas perlawanan Liga Super malam esok kerana terdapat satu atau dua posisi yang belum dapat saya muktamadkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kim Swee berkata beliau perlu melakukan beberapa perubahan selepas empat pemain mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa manakala beberapa pemain daripada senarai terdahulu mengalami kecederaan.

Empat pemain yang mengumumkan persaraan mereka adalah ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal, kesemuanya dari kelab Johor Darul Ta'zim (JDT).

Skuad kebangsaan akan mula menjalani latihan pusat Isnin depan sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa A bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 Sept.

Skuad kebangsaan sedang dipersiapkan bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF 2016 yang bermula dari 19 Nov hingga 17 Dis nanti.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan pasukan yang mara daripada pusingan kelayakan.

Harimau Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tyler Blackett Tinggalkan Man United

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Elvis Presley 'kawal' trafik di Jerman