suria

Pelumba Basikal Olimpik Diberi Rehat - Beasley

Beasley memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada Fatehah Mustapa ketika sesi pemanas badan sebelum beraksi dalam acara kelayakan pecut wanita di Velodrom Olimpik Rio pada Sukan Olimpik Rio 2016, Isnin lalu. - fotoBERNAMA

SEPANG: Selepas bekerja keras dan mempamerkan aksi memberangsangkan pada Sukan Olimpik Rio, ketua jurulatih skuad berbasikal negara John Beasley akan memberi peluang kepada pelumba basikal senior untuk berehat.

Beasly berkata beliau tidak akan meletakkan sebarang sasaran besar kepada Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa dalam musim akan datang.

"Kami telah bekerja keras sejak empat tahun yang lepas, dan saya hanya mahu memberi atlet peluang untuk berehat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba dari Rio de Janeiro pada Jumaat.

Beasley berkata pelumba basikal berkenaan akan mengambil bahagian dalam Siri Piala Dunia dan Kejohanan Dunia.

"Kami akan cuba memenangi setiap perlumbaan tetapi ia bukanlah fokus bagi kami.

"Saya mahu Azizulhasni beri tumpuan kepada pengajiannya dan meredakan tekanan selepas bertanding dalam acara sukan peringkat tertinggi ini dan kemudian perlahan-lahan membina semula pasukan ini sebagai persediaan bagi Tokyo (Olimpik Tokyo pada 2020) dalam tempoh tiga tahun," kata jurulatih dari Australia itu.

Beasley berkata Mohd Azizulhasni dan Fatehah juga sudah sekian lama berjauhan daripada keluarga dan mereka perlu diberi peluang untuk berehat serta mengisi masa bersama keluarga masing-masing.

Mohd Azizulhasni melakar sejarah dalam Sukan Olimpik Rio dengan memenangi pingat pertama Malaysia dalam acara berbasikal selepas meraih gangsa menerusi  acara Keirin lelaki pada Selasa lepas.

Dalam pada itu, Beasley berkata dalam tempoh tiga minggu akan datang, beliau akan mencari kaedah bagaimana untuk membolehkan Mohd Azizulhasni menaiki podium Olimpik Tokyo.

Katanya beliau akan memberi lebih pendedahan kepada pelumba junior untuk bertanding dalam pertandingan peringkat tinggi misalnya Piala Dunia.

"Muhammad Shah Firdaus Shahrom sehingga kini menunjukkan persembahan yang baik tetapi ada empat atau lima lagi pelumba yang semakin menyinar dan dalam pada itu kita juga ada Farina Shawati Mohd Adnan dalam pasukan wanita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain