suria

Aguero Bangkit Cipta Hatrik Selepas Terlepas Dua Penalti

SERGIO Aguero terlepas dua sepakan penalti dalam 20 minit pertama dan kemudian meledak hatrik ketika Manchester City menundukkan Steaua Bucharest 5-0 pada perlawanan pertama play-off Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu.

David Silva membuka jaringan awal untuk City pada minit ke-13 sebelum Aguero meletakkan kedudukan 2-0 apabila menjaringkan gol pada minit ke-41.

Nolito juga menjaringkan gol untuk menambah kekecewaan kepada pasukan tuan rumah sebelum Aguero menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-78 dan 89.

Kemenangan besar ini bermaksud pasukan kendalian pengurus Pep Guardiola ini berpeluang cerah untuk beraksi dalam saingan peringkat kumpulan musim ini.

Ini kerana Steaua Bucharest perlu mencatat kemenangan besar pada  perlawanan timbal balik di Stadium Etihad pada Rabu depan.

Dalam perlawanan berasingan, Borussia Moenchengladbach turut memulakan langkah kanan untuk layak ke peringkat kumpulan selepas mengatasi kelab Switzerland, Young Boys 3-1.

Satu lagi pasukan bekas juara Eropah, Ajax Amsterdam diikat 1-1 di tempat sendiri oleh kelab Russia, Rostov.

Sementara itu, juara liga Croatia, Dinamo Zagreb juga terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Austria Salzburg.

Dalam satu lagi perlawanan, Copenhagen mencipta kemenangan 1-0 ke atas APOEL Nicosia. 

Manchester City, Sergio Aguero

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain