suria

Aksi Hambar Pemain Negara Di India

Tan Wee Kiong dan Goh V Shem (kanan) mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di India, Rabu.

KUALA LUMPUR: Barisan pemain negara mempamerkan aksi  hambar apabila hanya dua daripada lima beregu mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das di Lucknow, India, Rabu.

Beregu utama Goh V Shem/Tan Wee Kiong melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto/Noriyasu Hirata 21-14, 21-12 dalam perlawanan pembukaan.

Bagaimanapun, Goh/Tan menghadapi tugas berat menentang bekas juara dunia, Ko Sung Hyun/Shin Baek Cheol pada pusingan seterusnya selepas beregu Korea Selatan itu menumpasdkan beregu tuan rumah, Manu Attri/B. Sumeeth Reddy 21-18, 21-16 dalam satu lagi aksi pusingan pertama. 

Satu-satunya wakil Malaysia dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menunjukkan aksi baik selepas menewaskan gandingan India, Bhaskar Chakraborty/Rachita Sahdev 21-18,21-15.

Sementara itu, bekas beregu naib juara dunia 2010, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong terkeluar daripada kejohanan selepas tewas 9-21, 21-17 dan 16-21 kepada pilihan ketiga iaitu beregu Denmark, Mads Conrad-Petersen/Mads Pieler Kolding.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita berakhir selepas dua pasangan  -- Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei dan Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho -- masing-masing tewas kepada pasangan lawan dalam aksi pembukaan.

Hoo/Woon selaku pilihan keempat, tewas 18-21, 21-16 dan 13-21 kepada beregu Thailand, Puttita Supajirakul/Sapsiree Taerattanachai dalam perlawanan pembukaan.

Amelia/Soong, pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura, tumpas 13-21, 25-23, 18-21 kepada pasangan beregu dari China, Du Yue/Li Yinhui.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain