suria

JDT Bakal Melakar Sejarah Terbaharu

SKUAD Johor Darul Takzim (JDT) melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila layak ke perlawanan akhir AFC 2015 menentang FC Istiklol di Tajikistan pada Sabtu.

Walaupun sesetengah pihak mendakwa pasukan Southern Tigers itu berjaya ke final atas kemenangan percuma, namun ia perlu dihargai kerana bakal membawa naik tahap bola sepak Malaysia.

JDT diberikan kemenangan oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di peringkat separuh akhir dan terus ke perlawanan akhir Piala AFC bertemu pasukan FC Istiklol yang berpusat di Tajikistan.

Namun perlu diingat bahawa kelayakan JDT ke separuh akhir antara sejarah baharu yang telah dilakar pasukan berkenaan kerana sebelum tiada skuad dari negara ini layak ke peringkat tersebut.

JDT yang kini berada di Tajikistan telah membuat pelbagai persediaan dari segi mental dan fizikal walaupun masih berteka-teki mengenai nasib pemain penting iaitu Luciano Figueroa.

Jika pemain import itu tidak diturunkan, penyokong khuatir barisan serangan tidak akan dapat beraksi sebaik sebelum ini.

Namun pastinya pengendali JDT, Mario Gomez mempunyai 'resepi' dalam mengadunkan kesebelasan utama untuk menentang pasukan tuan rumah.

Hal ini kerana, jurulatih kelahiran Argentina itu bukan sahaja mempunyai pengalaman dalam melatih kelab Amerika Latin tetapi turut pernah membimbing kelab gergasi di Asia seperti South China.

Dalam perlawanan itu juga, kemampuan kelab dari negara ini dan aksi pemain bakal diukur dan antara yang paling menjadi perhatian rakyat Malaysia ialah keputusannya.

Jika JDT berjaya memenangi perlawanan itu, ia bermakna sejarah pertama telah direkodkan dengan Piala AFC bakal kembali ke Johor Baru.

Jika tidak, pasukan dari negara ini akan terus kempunan untuk menjejak ke final AFC.

Aksi final itu boleh ditonton secara langsung di TV9n pada pukul 8 malam ini.



JDT, Tajikistan

Artikel Berikut

Artikel Lain