suria

Mana Gol United? Van Gaal Resah...

Wayne Rooney tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas gagal menjaringkan gol dalam sepakan penalti ketika menentang Middlesbrough dalam saingan pusingan keempat Piala Capital One pada Khamis.

> Pengurus Manchester United Louis van Gaal resah ketumpulan barisan serangannya

> United tewas di tangan Middlesbrough selepas sepakan penalti dalam Piala Capital One

> Selepas tamat masa 90 minit permainan, United dan Middlesbrough terikat 0-0

> Manchester United sekadar seri dalam tiga perlawanan terakhir mereka

> Mereka hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja

PENGURUS Manchester United, Louis van Gaal mengakui yang dia mula risau dengan ketidakupayaan barisan serangannya menjaringkan gol selepas mereka disingkirkan oleh pasukan liga bawah Middlesbrough dalam saingan pusingan keempat Piala Capital One pada awal pagi Khamis.

United tewas 3-1 menerusi sepakan penalti selepas mereka terikat 0-0 dalam perlawanan yang berlangsung di tempat sendiri, Old Trafford.

Kelab itu kini gagal menjaringkan gol selepas mengharungi 238 minit dalam semua perlawanan domestik dan yang lebih membimbangkan pemain-pemain bertaraf antarabangsa seperti kapten Wayne Rooney, penolong kapten, Michael Carrick dan Ashley Young gagal menyumbatkan gol dari sepakan penalti yang diamanahkan kepada mereka.

United juga kini kehilangan khidmat penyerang simpanan mereka, James Wilson yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua kerana kecederaan.

"Sudah tentu fenomena ini membimbangkan saya. Dalam bolasepak, satu-satunya perkara penting ialah menjaringkan gol. Kami telah mengharungi dua perlawanan dengan keputusan 0-0 sedangkan kami sepatutnya mampu menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan itu," tegas Van Gaal.

Van Gaal berkata, apabila peluang terbuka gagal dipenuhi, adalah sukar untuk menang dalam perlawanan seperti ini.

"Kita boleh sahaja berkata yang kita tidak bernasib baik tetapi hakikatnya kita tidak menang kerana kita tidak menjaringkan gol," ujarnya lagi.

Van Gaal tidak menyalahkan para pemainnya di atas kekalahan itu kerana menurutnya, sepakan penalti adalah ibarat berada di dalam kasino iaitu tiada jaminan untuk menang atau kalah.

Kini, kata Van Gaal, United perlu mengembalikan keyakinan diri mereka semula dalam perlawanan liga menentang Crystal Palace di tempat lawan Sabtu ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain